Oleh Hamdan Ismail
KUCHING, 21 Dis (Bernama) -- Dalam usaha memperkasakan perniagaan kecil di Sarawak, Mohd Adib Othman meninggalkan kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan memulakan sebuah platform yang menyediakan ruang untuk peniaga kecil beroperasi tanpa dibebani kos tinggi.
Menggunakan model perniagaan konsainan, Mohd Adib, 44, membuka Takeaway 2 di Satok di sini, di mana vendor tidak dikenakan bayaran sewa ruang berniaga sebaliknya cuma membayar komisen secara bulanan.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada peniaga kecil memasarkan produk mereka tanpa dibebani kos operasi yang tinggi. Kami hanya ingin membantu peniaga kecil memperluas pasaran mereka,” katanya kepada Bernama.
Bagi menjamin kualiti dan keselamatan produk di Takeaway 2, Mohd Adib berkata pihaknya melakukan saringan ketat ke atas vendor terbabit yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk produk sejuk beku, makanan kering, minuman dan pencuci mulut.
“Sebenarnya saya meneruskan model perniagaan yang dimulakan oleh kakak ipar Sharifah Laila Wan Mustafa yang membuka premis pertama Takeaway di Kampung Gita, Petra Jaya pada Ogos 2023. Apabila melihat potensi besar perniagaan cara ini, saya turut mengambil peluang,” katanya.
Dalam kalangan pengamal media di Sarawak, nama Mohd Adib bukanlah asing kerana beliau berkhidmat sebagai wakil TV3 di Sarawak selama sedekad.
Memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada 2009, beliau menimba pengalaman dan kemahiran yang kini membantunya dalam perniagaan.
“Bukan mudah untuk saya tinggalkan dunia media, tetapi kerana minat mendalam terhadap perniagaan saya beranikan diri dan meletak jawatan pada 2021,” katanya.
pic-2
Menurutnya, beliau mula mengenali dunia perniagaan selepas membantu abangnya, seorang kontraktor elektrik, menguruskan perniagaan keluarga.
“Sebagai wartawan, saya banyak berhubung dengan pelbagai pihak dan mendapatkan maklumat. Kemahiran itu saya gunakan untuk membantu abang saya dalam perniagaan kontraktor. Dari situ, minat saya dalam dunia perniagaan semakin berkembang,” katanya.
Beliau memulakan operasi Takeaway 2 pada Mac lepas dan memilih Satok sebagai lokasi selepas mengambil kira kedudukan pekan itu yang merupakan antara kawasan beli-belah utama komuniti bandar raya ini, selain mudah diakses oleh vendor.
“Kami sentiasa mencari produk-produk jarang ditemukan yang berkualiti tinggi untuk ditawarkan kepada pelanggan. Contohnya, jus nanas MD2 yang 100 peratus asli tanpa campuran gula. Ini antara usaha berterusan kami dalam memastikan produk yang dijual memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Adib berkata kejayaan perniagaan beliau tidak hanya diukur melalui keuntungan tetapi juga pencapaian vendor yang menyertai beliau.
“Dengan sokongan yang padu dan platform yang tepat, saya berharap Takeaway 2 akan mampu memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan dan meningkatkan daya saing peniaga-peniaga kecil di Sarawak,” tambahnya.
-- BERNAMA