AM

BANJIR: LELAKI BINA PONDOK ATAS POKOK SEBAGAI TEMPAT PERLINDUNGAN SEMENTARA

17/12/2024 01:43 PM

PASIR MAS, 17 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki mengambil inisiatif membina pondok di atas pokok di hadapan rumahnya di Kampung Kubang Tebakang, di sini bagi menghadapi musim tengkujuh yang belum berakhir.

Mohd Nor Afiq Mohd Anuar, 33, berkata pondok berkeluasan lima kaki persegi itu dibina sejak sebulan lepas, dijadikan tempat berlindung sementara keluarganya jika paras banjir mencecah loteng rumah.

"Pada gelombang banjir pertama minggu lepas, air naik sangat cepat dengan kedalaman agak luar biasa, iaitu melebihi tiga meter sehingga hampir mencecah paras loteng rumah.  

"Jadi, sementara menunggu pihak bomba membawa kami berpindah, saya bersama-sama adik-beradik lain berlindung di rumah ini manakala ayah dan mak tunggu di loteng," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Nor Afiq berkata rumah yang dibina di atas pokok berusia lebih 20 tahun itu juga mempunyai isyarat telefon yang jauh lebih baik berbanding di dalam rumah asal mereka sekali gus memudahkan mereka berhubung untuk mendapatkan bantuan.

Pembinaan pondok itu katanya, tercetus hasil perbincangan dengan adiknya Mohd Aniq Shahmi, 14, selain perkongsian idea dengan ayah Anuar Hamzah, 66, yang juga seorang tukang rumah.

"Idea ini juga terhasil apabila memikirkan setiap tahun kampung kami dinaiki air yang kadang-kadang mengambil masa berminggu-minggu untuk surut.

"Pondok itu yang dilengkapi dengan soket elektrik dan kipas angin bagi memberi keselesaan semasa berteduh turut berfungsi sebagai 'menara tinjau' banjir di kampung ini," katanya.

Mohd Nor Afiq berkata pondok itu juga kini menjadi satu daya tarikan orang kampung untuk berkunjung ke warung ibunya yang berada di lokasi sama. 

Bagaimanapun, katanya bagi memastikan pondok berkenaan kukuh, dia sentiasa memantau struktur binaan agar dalam keadaan yang baik.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy