AM

Kakitangan Parlimen Malaysia Bantu Mangsa Banjir Di Jeniang, Kedah

23/12/2024 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Enam buah kenderaan pacuan empat roda membawa lebih 15 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Parlimen Malaysia memulakan konvoi ke Jeniang, Kedah hari ini bagi menyampaikan misi bantuan pasca banjir di sekitar kawasan berkenaan.

Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan misi bantuan yang digerakkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen Malaysia (KESPA) itu akan menyampaikan barangan keperluan harian serta membantu membersihkan kediaman mangsa yang terjejas akibat banjir.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Johari Abdul akan turun padang bersama-sama dengan Skuad Sukarelawan Parlimen Malaysia  yang diketuai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

“Pelaksanaan misi bantuan ini selaras dengan hasrat Parlimen Malaysia untuk “Merakyatkan Parlimen” melalui pendekatan turun padang serta menyantuni masyarakat melalui program dan aktiviti libat urus,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, perlepasan konvoi berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian (Pengurusan) Parlimen Malaysia Riduan Rahmat di perkarangan lobi Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy