AM

SME Bank Teruskan Bantuan Mangsa Banjir, Beri Manfaat Lebih 4,500 Penerima Di Kedah Dan Kelantan

18/12/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah mengaktifkan misi kedua bantuan banjir untuk memberikan bantuan kepada individu dan keluarga yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pengumuman yang dibuat baru-baru ini untuk memberikan bantuan segera kepada para pelanggan melalui penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dan langkah-langkah bantuan.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) terkemuka negara yang diberi mandat untuk menyampaikan nilai kepada masyarakat, kami menyedari cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir baru-baru ini. Oleh itu, kami menyahut seruan kerajaan agar semua agensi kerajaan dan syarikat korporat memainkan peranan secara langsung dalam membantu rakyat menghadapi situasi sukar ini.

“Tangkas dan pantas dalam menangani krisis di seluruh negara, kami terus menghulurkan bantuan yang diperlukan melebihi aspek pembiayaan melalui pelaksanaan inisiatif CSR bantuan banjir di Kedah dan Kelantan, yang memberi manfaat kepada lebih 4,500 penerima berikutan jumlah kes banjir yang tinggi di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Di bawah inisiatif ini, SME Bank menyumbangkan bakul makanan dan barangan keperluan serta bantuan tunai di Kedah dan Kelantan.

Dr Mohammad Hardee berkata SME Bank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di bawah Kerajaan Negeri Kedah, yang menyaksikan sumbangan bakul makanan dan barangan keperluan kepada 400 keluarga dalam daerah Kubang Pasu, Kedah, yang melibatkan lebih 3,500 penerima keseluruhan.

“Sementara itu di Kelantan kami memberikan sokongan melalui sumbangan tunai kepada dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Kebangsaan Bendang Pa'Yong bagi menyokong pemulihan pascabanjir, yang memberi manfaat kepada 1,000 pelajar.

“Selain itu, kakitangan kami turut terlibat dalam penyediaan dan pengagihan bakul makanan di Kedah, manakala kakitangan di Kelantan terlibat dalam kerja-kerja pembaikan dan pembersihan dua sekolah yang terjejas,” katanya.

Majlis penyerahan sumbangan di Kedah dihadiri Pengerusi SME Bank Datuk Muslim Hussain dan Dr Mohammad Hardee, bersama Pegawai Daerah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kubang Pasu Muhammad Mahazi Ibrahim, sebagai agensi pelaksana JKM Kedah.

Di Kelantan, SME Bank diwakili oleh Ketua Pegawai Perniagaan Zabidi Abdullah, Ketua Pegawai Operasi Zarina Nor Ismail dan Ketua Pegawai Risiko Kumpulan Mohammad Azam Ahmad, yang turut dihadiri Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Jering Zamri Muhammad dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bendang Pa'Yong Roslan Mohamed.

Sejak 2022, SME Bank telah melancarkan hampir 20 inisiatif CSR berjumlah lebih RM3 juta, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, pembangunan komuniti, dan pemeliharaan alam sekitar, termasuk Bantuan Kemanusiaan Banjir untuk Pelajar di Penampang, Sabah dan program “Satu Pemimpin Satu Kampung” (Santuni Madani).

Bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat bencana, SME Bank turut menggerakkan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) menerusi dana Bank Negara Malaysia, yang menawarkan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar 3.5 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy