AM

Melaka Naikkan Jumlah Bantuan Awal Persekolahan Anak Asnaf, Mualaf

19/12/2024 04:25 PM

MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menaikkan jumlah bantuan awal persekolahan bagi anak-anak asnaf dan mualaf kepada RM350 berbanding RM300 bagi sesi tahun depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata bantuan itu meliputi sejumlah RM3.08 juta diperuntukkan MAIM untuk disalurkan kepada golongan terbabit.

"Jumlah ini meliputi 8,800 pelajar dalam kalangan keluarga golongan asnaf dan mualaf di Melaka yang akan menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut, beg sekolah dan alat tulis.

"Bantuan ini akan disampaikan mengikut Parlimen masing-masing iaitu mereka diminta untuk hadir memilih barangan dan pakaian sekolah yang diperlukan mengikut jumlah bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menjadi tetamu segmen Apa Khabau YB terbitan MELAKA.fm di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Rahmad berkata bantuan itu dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

“Sebagai contoh jika dalam keluarga itu ada tiga anak masih bersekolah, maka semua anak layak menerima bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) juga meningkatkan kuota bagi penerima dermasiswa dalam kalangan pelajar sekolah menengah iaitu sebanyak 20 pelajar terpilih bagi setiap sekolah berbanding 10 sebelum ini.

"Dermasiswa diberi menerusi wang peruntukan zakat diterima TAPEM dengan RM50 sebulan kepada setiap penerima yang benar-benar layak dan memerlukan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy