KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi kerjasama strategik dalam pembangunan instrumen dan pelaksanaan Kajian Indeks Integriti Malaysia (InTeM).
IIM dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu bertujuan membangunkan indeks integriti yang berperanan sebagai instrumen penting dalam mengukur tahap pematuhan prinsip integriti di pelbagai sektor di Malaysia.
“Pembangunan InTeM dijangka akan memberi gambaran lebih jelas dan komprehensif mengenai keberkesanan dasar sedia ada serta mengenal pasti ruang penambahbaikan ke arah peningkatan ketelusan dan akauntabiliti.
“Pembangunan InTeM ini juga satu daripada inisiatif dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada Bab 2 iaitu Mempertingkat Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IIM Rahman Mohd Din dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin mewakili institusi masing-masing menandatangani MoA yang berlangsung semalam.
Menurut IIM, InTeM dijangka dapat memberi manfaat menyeluruh selain berfungsi sebagai mekanisme kerajaan menilai keberkesanan dasar sedia ada, membantu sektor swasta meningkatkan kredibiliti dan keyakinan pelabur serta memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan integriti dalam pembangunan sosioekonomi negara.
“Pembangunan indeks ini juga dijangka mampu menjadi satu indikator utama dalam pembentukan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) serta diharapkan mampu menjadi pemangkin dalam peningkatan skor CPI Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kepakaran akademik dan penyelidikan UiTM dijangka dapat memainkan peranan penting dalam menganalisis data dan membangunkan indikator yang relevan untuk InTeM selain menjadi rujukan utama dalam usaha berterusan pembudayaan integriti dan tatakelola baik di Malaysia.
Sementara itu, Rahman dalam kenyataan sama memaklumkan MoA berkenaan adalah langkah proaktif dalam memastikan integriti terus menjadi teras kemajuan negara.
“Dengan wujudnya InTeM ini, ia dapat berfungsi sebagai penanda aras dan panduan kepada sektor awam, swasta, serta masyarakat dalam menilai dan menambah baik amalan integriti masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA