MELAKA, 21 Dis (Bernama) -- Pementasan teater kekal relevan sebagai medium utama dalam mengetengahkan karya agung peradaban Melayu dan sejarah bangsa, yang kini giat dikaji serta diperbetulkan oleh pengkaji sejarah negara, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata teater bukan sahaja memaparkan kebenaran sejarah sesuatu bangsa, malah mengangkat martabat naskhah sastera sejarah yang bernilai tinggi, selain menjadi platform bagi generasi muda menghayati khazanah klasik warisan negara.
"Sebagai contoh, karya agung Sulalatus Salatin yang dipercayai satu-satunya kesusasteraan Melayu klasik berelemen sejarah tertua, menceritakan permulaan Kesultanan Melayu Melaka, era kegemilangan, dan kejatuhannya.
"Dengan pementasan seperti malam ini yang berbentuk muzikal, generasi muda dapat memahami sejarah yang diperbetulkan berdasarkan kajian dan dapatan pelbagai perspektif, sekali gus menjadi asas untuk masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pementasan teater Purbawara Muzikal Manifestasi Karya Agung Sulalat’us Salatin: Keagungan Kemaharajaan Maritim di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, malam tadi.
Teater purbawara muzikal berdurasi dua jam itu dipentaskan selama tiga hari bermula Jumaat, mengisahkan kemaharajaan maritim yang dikenal sebagai Pertuturan Segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu.
Ia merangkumi transisi zaman Raja Iskandar Zulkarnain hingga kejatuhan empayar Melaka.
Teater ini diarahkan oleh Siti Rohayah Attan dengan skrip nukilan Siti Jasmina Ibrahim, Siti Rohayah, dan Ezee Klasik.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan ialah Norish Karman, Adam Lee, Rosli Rahman Adam, Zehra Haris, dan Putri Nur Zahirah.
-- BERNAMA