Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 21 Dis (Bernama) -- Malaysia berhasrat berkongsi kepakaran, pengalaman, dan amalan terbaik dalam pembangunan, penggunaan, serta pemindahan teknologi nuklear dengan negara-negara ASEAN bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr. Rosli Darmawan berkata pihaknya bersedia berkongsi kepakaran dalam beberapa bidang utama, termasuk perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, serta pembuatan peranti dan peralatan.
“Nuklear Malaysia berbangga kerana dapat menyumbang dan terlibat dalam Kepengerusian ASEAN 2025.
“Dengan kesempatan ini, Nuklear Malaysia ingin memperkenalkan kepakaran dan infrastruktur teknologi nuklear yang kita miliki kepada semua negara anggota ASEAN,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menyatakan kesediaan Nuklear Malaysia untuk berkongsi pengalaman dalam membangunkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dengan negara-negara ASEAN.
Beliau turut menyatakan kesediaan Nuklear Malaysia untuk berkongsi pengalaman dalam membangunkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dengan negara-negara ASEAN.
Menurut Rosli, pelaksanaan DTNN 2030 dijangka menyumbang sebanyak RM2.403 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2030, dengan peningkatan 10 peratus setahun dalam pertumbuhan tahunan nilai eksport produk berkaitan teknologi nuklear tempatan.
“Pelancaran DTNN 2030 pada 20 Sept 2023 merupakan satu pencapaian besar, khususnya selepas 50 tahun penubuhan Nuklear Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, Nuklear Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan ASEAN Network on Nuclear Power Safety Research (NPSR) Ke-8 pada tahun 2025, selaras dengan polisi penggiliran dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Ini adalah kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut sejak ia dimulakan pada 2017.
“Mesyuarat tahunan ini akan membincangkan pencapaian serta pelaksanaan aktiviti yang dirancang di bawah ASEAN NPSR, di samping mengenal pasti keperluan negara anggota dan perancangan aktiviti tahunan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program mesyuarat itu, peserta ASEAN NPSR akan dibawa melawat Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP), satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia yang telah beroperasi dengan selamat sejak 1982.
Rosli juga memaklumkan bahawa Nuklear Malaysia telah diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) dan bersedia berkongsi pengalaman serta sumber latihan dengan negara-negara ASEAN.
Selain itu, agensi tersebut turut diiktiraf sebagai Pusat Kolaboratif Antarabangsa (ICC) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi tempoh 2023 hingga 2027. Pengiktirafan ini merangkumi pembangunan, penyelidikan, dan latihan dalam aplikasi sains nuklear.
“Dengan pengiktirafan ini, Nuklear Malaysia komited untuk meneruskan perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran dengan negara anggota ASEAN yang juga merupakan anggota IAEA,” jelasnya.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
-- BERNAMA