SEREMBAN, 21 Dis (Bernama) -- Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha membawa pulang rakyat negara ini yang menjadi mangsa scammer pekerjaan di Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata atas persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya melantik Duta Khas Malaysia ke Myanmar iaitu bekas Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Othman Hashim yang mahir berunding dengan beberapa kumpulan tertentu di negara berkenaan.
Beliau berkata selain menumpukan kepada usaha membawa pulang rakyat Malaysia, pertemuan itu juga membincangkan bagaimana menghentikan keganasan terhadap rakyat mereka sendiri.
“Situasi di Myanmar amat sukar, sebelum ini kita boleh berunding tetapi sekarang ini banyak sangat kelompok warlord yang menguasai province (wilayah), mereka mempunyai kekuatan persenjataan.
“Saya tidak janji boleh selamatkan semua … bukan hanya di Myanmar sahaja, di Filipina, di sempadan Segitiga Emas, Thailand, Laos dan Myanmar yang kini menjadi pengeluar dadah terbesar dan wang itulah membiayai warload itu, ini jadi amat sukar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan e-Sport Piala Tok Mat di KIP Mall, Senawang di sini hari ini.
Beliau berkata negara itu mempunyai berbelas-belas wilayah bermasalah dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri sehingga menyebabkan kerajaan negara itu sendiri berdepan kesulitan menyelesaikan isu berkaitan.
“Usaha kita adalah berunding dengan puak (kumpulan) ini bagi meninjau wishlist mereka, kemudian ia akan dikumpul dan dikaji bagaimana kita mengambil wishlist itu untuk diselaraskan yang penting Myanmar kembali semula menjadi sebuah negara aman, rakyatnya boleh tinggal dengan sejahtera,” katanya.
Susulan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran gaji berlipat ganda ditawarkan di media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa scammer pekerjaan terutamanya di Myanmar dan negara Asia Tenggara yang lain.
“Baru-baru ini saya sendiri minta seorang rakyat iaitu bekas pelajar universiti (mangsa scammer) menunjukkan bagaimana kecacatan kekal dialaminya, dia diseksa oleh sindiket kerana tidak berjaya menepati atau melakukan tugas diberikan,” katanya sambil berharap ia menjadi penganjaran kepada semua pihak.
Dalam pada itu, Mohamad berterima kasih atas hubungan baik negara ASEAN yang sentiasa membantu sebaiknya meskipun menyedari kadang-kadang negara itu juga mempunyai kekangan.
“Terima kasih kepada negara jiran, anggota ASEAN kerana hubungan itu amat baik, mereka membantu seboleh mungkin, kadang-kadang mereka juga mempunyai limitation, sekatan yang tidak dapat mereka lakukan,” katanya.
Mengenai sesi Perundingan Tidak Rasmi Troika ASEAN dan Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan di Bangkok, Thailand semalam, Mohamad berkata perbincangan menumpukan cara menguruskan permasalahan yang berlaku di Myanmar kerana krisis di negara itu amat tidak baik untuk ASEAN.
"Sebagai sebuah kawasan rantau aman bebas berkecuali tetapi isu dalaman Myanmar sedikit sebanyak menjejaskan ASEAN, bukannya kita hendak campur tangan dalam hal mereka tetapi masalah di negara itu melepasi sempadan iaitu masalah jenayah rentas sempadan, perjudian, scammer dan dadah.
"Jadi ASEAN berunding, Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun depan, kita menyusun strategi awal bagaimana cara dan apa perlu dilakukan mengurangkan permasalah dalaman itu kerana kita tidak mahu ia mengganggu kestabilan dalam rantau Asia Tenggara," katanya.
-- BERNAMA