Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Penilaian terhadap prestasi industri insurans pada 2024 pastinya perlu mengambil kira maklum balas negatif yang diterima industri insurans dan takaful selepas mengumumkan kenaikan mendadak premium insurans perubatan.
Kenaikan itu mengejutkan pemegang polisi yang telah membayar premium bulanan yang tinggi justeru mencetuskan kebimbangan sama ada mereka dapat meneruskan pembayaran untuk perlindungan dan kemampanan polisi insurans dalam jangka panjang.
Bagi rakyat, sukar untuk mereka mengakses penjagaan kesihatan swasta pada masa ini tanpa insurans kesihatan atau perubatan berikutan caj yang tinggi serta peningkatan kos sara hidup.
Banyak pihak mempersoalkan tindakan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk menaikkan premium yang dilaporkan antara 40 hingga 70 peratus, meskipun terdapat maklumat bahawa syarikat insurans dan hospital swasta meraih keuntungan kukuh dan pertumbuhan pendapatan yang konsisten.
Selain itu, hospital swasta memperlihatkan prestasi kewangan yang mantap, dipacu oleh permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kenaikan kos perubatan.
Bagi mewajarkan premium yang lebih tinggi, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menjelaskan bahawa, industri ini telah mengalami kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah berlaku sebelum ini berjumlah 56 peratus sejak 2021 hingga 2023.
Tuntutan yang melonjak ini dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti kenaikan kos rawatan perubatan, teknologi penjagaan kesihatan termaju dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang meningkat, menjadikan penetapan semula harga premium itu sebagai langkah yang tidak dapat dielakkan.
Isu ini turut menarik perhatian Ahli Parlimen yang membangkitkan perkara berkenaan di Dewan Rakyat, justeru membawa kepada pelaksanaan taklimat tertutup kepada mereka mengenai kenaikan premium insurans perubatan.
Pada 10 Disember, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim meredakan kebimbangan orang ramai apabila mengumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menetapkan mekanisme kawalan supaya kenaikan premium insurans perubatan adalah wajar dan tidak membebankan rakyat.
Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara bahawa BNM akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah-langkah interim bagi mengatasi kenaikan kadar premium insurans.
Pada 13 Disember, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata bank pusat memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.
BNM umum langkah interim pelarasan premium MHIT
Sementara itu, pada 20 Disember, BNM mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu menangani kesan pelarasan premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT), dengan ITO melaksanakan perubahan premium yang diagihkan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan penetapan semula premium.
Bank pusat berkata langkah-langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir 2026.
“Menerusi langkah-langkah ini, sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka mengalami pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan kurang daripada 10 peratus,” katanya.
BNM berkata langkah interim lain adalah, bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli.
Menurutnya langkah itu akan memerlukan ITO menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu iaitu selama satu tahun daripada ulang tahun polisi mereka.
Pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi MHIT mereka telah luput pada 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium ini boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah ini tanpa keperluan pengunderaitan tambahan, katanya.
“Semua ITO juga akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula,” kata bank pusat.
Kaji semula strategi penetapan semula harga
BNM pada 28 November menggesa ITO supaya menyemak strategi penetapan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar dengan mengambil kira kesannya kepada pemegang polisi dan peserta.
ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi/peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium/sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans/takaful.
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) menggesa BNM dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk menghentikan sementara langkah penetapan semula harga premium perubatan.
Presidennya Krishnan Appanu mencadangkan ITO mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan kenaikan premium secara berperingkat dengan pelan pembayaran fleksibel yang meringankan beban pengguna.
Beliau berkata BNM, bersama-sama MOF dan KKM, sedang menelitinya dan akan mengeluarkan garis panduan yang ketat untuk memastikan ITO mengambil kira beberapa faktor, seperti inflasi.
Awal tahun ini, BNM mengarahkan ITO memperkenalkan pilihan pembayaran bersama bagi produk MHIT mereka menjelang 1 Sept 2024 untuk menawarkan pilihan yang lebih mampan dan mampu milik.
Peraturan baharu itu telah mencetuskan sedikit kekeliruan dalam kalangan orang ramai kerana menggambarkan pembayaran bersama sebagai wajib, yang mungkin menjejaskan pengguna sedia ada yang telah membeli pelan perlindungan penuh MHIT.
Bagaimanapun, BNM dan peneraju industri sedang berusaha mengatasi isu berkenaan, memastikan pembayaran bersama untuk produk MHIT adalah pilihan dengan premium yang lebih rendah dan tidak menjejaskan pengguna sedia ada.
BNM berkata, tahap premium atau sumbangan bagi produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama adalah 19 peratus hingga 68 peratus lebih rendah berbanding produk serupa tanpa ciri pembayaran bersama, bergantung kepada tahap pembayaran bersama.
Prestasi keseluruhan insurans hayat dan am, industri takaful pada separuh pertama 2024
Dalam Kajian Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2024 yang dikeluarkan BNM, keuntungan keseluruhan insurans hayat dan dana takaful keluarga dilaporkan meningkat kepada RM8.4 bilion pada separuh pertama 2024 berbanding RM6.0 bilion pada separuh pertama 2023 dan RM3.2 bilion pada separuh kedua 2023.
“Keuntungan keseluruhan dana insurans dan takaful meningkat berdasarkan pelaburan kukuh dan prestasi pengunderaitan yang lebih baik,” kata BNM.
Bank pusat berkata pertumbuhan mampan dalam premium perniagaan baharu terus menyokong keuntungan keseluruhan insurans hayat dan dana takaful keluarga, dengan premium perniagaan baharu berkembang 11 peratus pada separuh pertama 2024, diterajui oleh produk perubatan dan kesihatan serta produk berkaitan pelaburan.
Sementara itu, keuntungan operasi secara amnya kekal pada separuh pertama 2024 berjumlah RM1.7 bilion dalam sektor insurans am dan takaful berbanding RM1.3 bilion pada separuh pertama 2023.
“Prestasi pengunderaitan disokong oleh pertumbuhan mampan dalam premium langsung kasar daripada segmen motor berikutan jualan kereta yang lebih tinggi seiring dengan keadaan ekonomi yang menggalakkan dan pelancaran model baharu yang berjaya, termasuk kenderaan elektrik.
“Ia berjaya dicapai walaupun peruntukan yang lebih tinggi bagi tuntutan motor (separuh pertama 2024:RM600 juta; separuh kedua 2023: RM300 juta) sejajar dengan pertumbuhan perniagaan yang teguh serta kenaikan kos pembaikan,” katanya.
BNM berkata tuntutan yang lebih rendah akibat banjir yang ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya dan pendapatan pelaburan yang mampan turut membantu menyokong keuntungan operasi ITO am.
Prospek sektor pada 2025
Pelepasan cukai yang lebih tinggi ke atas insurans perubatan, yang dinaikkan kepada RM4,000 menerusi Belanjawan 2025 daripada RM3,000 sebelumnya, berkemungkinan menyokong pertumbuhan industri insurans pada 2025.
Bagaimanapun, BNM berpendapat bahawa ketidaktentuan keadaan pasaran kewangan akan terus menunjukkan risiko penurunan utama kepada pendapatan ITO, memandangkan pendedahan mereka yang besar kepada pelaburan bon dan ekuiti.
"Kerugian selanjutnya daripada inflasi perubatan boleh meningkatkan risiko pengurangan akses kepada insurans perubatan dan perlindungan takaful mampu milik, menyebabkan isi rumah berpotensi lebih terdedah kepada kejutan kewangan," katanya.
Selain itu, pendedahan kepada kejadian berkaitan perubahan iklim terutama banjir, boleh menyaksikan peningkatan turun naik dalam prestasi ITO am, kata BNM.
-- BERNAMA