EKONOMI

Scam Dalam Talian Jejas Keyakinan Pelabur, Sindiket Anggap “Menguntungkan”

23/12/2024 02:59 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Kerajaan perlu meningkatkan usaha membendung scam atau penipuan kewangan secara dalam talian, yang sekiranya tidak dikawal akan menjejaskan perdagangan, pelancongan, keyakinan pelabur serta keinginan Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pelaburan utama.

Ketika membuat gesaan itu Prinsipal Pengurusan Graymatter Forensics Advisory Sdn Bhd, Raymon Ram turut mendedahkan bahawa sindiket jenayah terancang semakin giat menggunakan scam dalam talian, dan disifatkan telah menjadi perniagaan yang sangat "menguntungkan."

Sehubungan itu, situasi ini memberi impak buruk kepada ekonomi memandangkan tiada pelabur berminat untuk menjalankan perniagaan dalam keadaan kadar scam yang tinggi, katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation yang membincangkan topik “The Economic Fallout of Scams” terbitan Bernama TV di sini baru-baru ini.

Graymatter Forensics Advisory adalah firma yang mengkhusus dalam forensik kewangan dan pengurusan risiko penipuan.

Menjawab pertanyaan Pasha Rahim selaku hos program, Raymon berkata kerugian akibat scam dalam talian berjumlah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara atau bersamaan RM54 bilion adalah “kos ekonomi yang membimbangkan.”

Bagaimanapun, beliau memuji usaha kerajaan yang pada masa ini mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani punca utama scam, antaranya menggalakkan lebih ramai mangsa melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Pihak berkuasa turut mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mule atau akaun keldai melibatkan pelajar, termasuk pelajar asing, yang begitu mudah menyerahkan akaun bank mereka kepada sindiket penipuan.

Raymon berkata statistik Penilaian Risiko Kebangsaan oleh Bank Negara Malaysia menekankan bahawa “penipuan adalah masalah utama kita dan punca utama penipuan ini adalah akaun mule.”

Akaun mule dikatakan dibeli daripada pemegang akaun asal, yang berkemungkinan terdiri daripada pelajar dengan harga RM500, yang kemudiannya digunakan untuk memindahkan wang yang dicuri daripada mangsa.

“Oleh itu, keyakinan pelabur perlu ditingkatkan dengan memperlihatkan kadar pemulihan, yang akan menunjukkan bahawa kita menangani masalah ini (dengan serius),” katanya.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 18 Dis 2024  memaklumkan kira-kira 22,000 kes penipuan melibatkan kerugian lebih RM147 juta dilaporkan mangsa kepada NSRC setakat September 2024.

Menurut MOF, lebih 43,000 akaun keldai yang disyaki telah dikenal pasti untuk tindakan oleh institusi kewangan bagi menghalang pelapisan wang secara berbilang untuk menyembunyikan dana haram.

Mengulas lanjut, Raymon berkata perdagangan dan pelancongan akan turut terjejas dengan kadar scam yang tinggi.

Beliau turut menekankan bahawa pandemik COVID-19 telah mendorong masyarakat ke arah ekonomi digital.

“Bagaimanapun, untuk masyarakat berjaya dalam ekonomi digital, ia mesti dibina atas asas kepercayaan (dan) jika kita melihat kadar scam yang masih meningkat, kita pasti tidak akan mampu meneraju perubahan di rantau ini,” katanya.

Menurutnya kerugian akibat scam hampir menyamai jumlah pelaburan yang dibuat dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan atau pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata jenayah terancang kini tertumpu kepada scam dan penipuan dalam talian kerana "ia jauh lebih menguntungkan berbanding pengedaran atau penyeludupan dadah berikutan impak kos-faedah,” dengan risiko pelaku sebenar diberkas pihak berkuasa adalah lebih rendah.

Raymon turut melahirkan kebimbangan bahawa kerugian akan meningkat melebihi tiga peratus daripada KDNK “sekiranya kita tidak mengambil tindakan sewajarnya.”

Menurutnya pada masa ini scam telah berkembang menjadi jenayah rentas sempadan, yang turut  menyumbang kepada aliran keluar dana.

“Apabila kita melihat kes scam pada masa ini, kebanyakannya berlaku di kawasan yang telah ditetapkan sebagai zon ekonomi khas bagi scam, yang terletak di luar Malaysia seperti bandar-bandar di sempadan Myanmar dan Kemboja, berdasarkan laporan yang diterima.

“Aliran keluar dana ke lokasi berkenaan akan turut memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa perusahaan kecil dan sederhana, yang diiktiraf sebagai tunjang sektor pembuatan negara untuk lebih berhati-hati dalam menguruskan perniagaan, melindungi maklumat pelanggan dan melindungi dana mereka.

Raymon berkata kewujudan kecerdasan buatan (AI) telah mengakibatkan scam dalam talian meningkat kerana ia berupaya meniru suara menerusi modulasi suara malahan penipuan visual menerusi video yang muncul daripada orang terdekat.

 Beliau menggesa mangsa penipuan untuk membuat laporan kepada NSRC berikutan ia adalah inisiatif baik dan pada masa ini telah diperkasakan menerusi pelancaran Portal Fraud Kebangsaan (NFP).

NFP adalah platform berasaskan teknologi untuk mengesan, mengesahkan dan menjejak aktiviti penipuan yang dilaporkan kepada NSRC.

MOF berkata NSRC telah menerima 64,000 panggilan merangkumi laporan kes daripada mangsa penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai.

Menurut kementerian, NFP ditubuhkan bagi memperkukuh keupayaan NSRC dalam proses penjejakan dan pembekuan dana.

"Sejak mula digunakan pada April 2024 dan sehingga September tahun ini, NFP telah berjaya mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk menjejaki dana sebanyak 75 peratus, dan meningkatkan jumlah dana yang dibekukan sementara sebanyak 34 peratus berbanding purata bulanan sebelum pelaksanaan NFP," kata MOF.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy