KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi pagi ini, menjejaki prestasi bursa serantau dengan petunjuk positif daripada Wall Street minggu lepas.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.09 mata kepada 1,597.50 daripada 1,591.41 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.69 mata kepada 1,594.10 dan bergerak antara 1,592.57 dan 1,601.90 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 513 berbanding 338 manakala 484 kaunter tidak berubah, 1,098 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.49 bilion unit bernilai RM1 bilion.
Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pihaknya menjangka minat belian di bursa tempatan akan kekal tertumpu kepada sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan, disokong oleh jangkaan pengukuhan dolar AS yang berterusan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM10.04, Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat enam sen kepada RM4.52 dan RM8.01, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM13.98 dan IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM7.05.
Bagi saham aktif, Key Alliance dan Velesto, masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 15 sen, Top Glove naik dua sen kepada RM1.34 manakala Aneka Jaringan merosot setengah sen kepada 16.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 6.51 mata kepada 12,215.30 manakala Indeks FBMT 100 naik 32.80 mata kepada 11,941.40 dan Indeks FBM Emas meningkat 29.37 mata kepada 12,252.31.
Indeks FBM 70 menambah 3.25 mata kepada 18,380.72 manakala Indeks FBM ACE merosot 17.90 mata kepada 5,250.75.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 148.79 mata kepada 18,852.1 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.26 mata kepada 170.52.
Sementara itu, Indeks Perladangan susut 2.10 mata kepada 7,495.17 dan Indeks Tenaga berkurangan 1.71 mata kepada 802.40.
-- BERNAMA