SEREMBAN, 23 Dis (Bernama) -- Sebanyak 41 banduan di Negeri Sembilan dibebaskan dengan berlesen menerusi program Ihsan MADANI yang melaksanakan pemulihan luar penjara bagi memberi peluang kepada mereka memulakan kehidupan baharu dengan sokongan masyarakat dan majikan.
Pengarah Penjara negeri Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata inisiatif ini dilaksanakan sebagai usaha membimbing banduan ke arah pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
“Majikan terlibat dalam program ini menunjukkan komitmen tinggi. Mereka tidak mengutamakan keuntungan, sebaliknya berbesar hati menyumbang kepada masyarakat dengan memberi peluang kedua kepada banduan ini,” katanya semasa berucap pada Program Insan MADANI Pelepasan Banduan Secara Lesen (kepulangan yang dinanti) sempena Krismas di Pusat Reintergrasi Penghuni (PRP) Mantin di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar.
Dalam pada itu, Ahmad Mustaqim berkata kerjasama erat antara keluarga, masyarakat dan majikan amat penting bagi memastikan bekas banduan ini dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas pembebasan.
Beliau berkata menerusi program hari ini sembilan majikan terlibat hingga tempoh banduan terpilih itu dibebaskan serta banduan dikembalikan ke pangkuan keluarga dengan mematuhi syarat ditetapkan.
Sementara itu, seorang majikan Hairoi Izzat Jumah, 29, berkata restorannya antara terawal mendapatkan khidmat pekerja bekas banduan dengan mengambil lebih 200 banduan sejak 2015.
"Hari ini kami menerima sembilan pekerja (banduan yang terpilih) bekerja di kedai makan kami. Alhamdulillah setakat ini mereka semua bekerja dengan baik boleh memberi kerjasama dan boleh mendengar arahan yang diberi.
"Kami tiada masalah mengambil pekerja bekas banduan kerana mereka juga layak diberi peluang. Ada ramai juga bekas banduan yang lepas habis hukuman terus bekerja dengan kami," katanya.
Hairoi berkata ini bukan hanya soal kebebasan tetapi juga mengenai tanggungjawab bersama untuk membentuk individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat.
Dalam pada itu, banduan dikenali sebagai Hazrul, 36, yang sepatutnya menjalani hukuman penjara 10 tahun akibat penyalahgunaan dadah bersyukur terpilih mengikuti program ini.
Dia telah menjalani hukuman penjara tiga bulan di penjara Jelebu dan kini diberi peluang kembali kepada keluarga dengan syarat perlu melaporkan diri di Parol Tampin setiap minggu serta melaporkan keberadaan dirinya di tempat kerja kepada pihak parol untuk pemantauan.
-- BERNAMA