Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Pendekatan diplomasi Malaysia pada 2024 mencerminkan strategi bersepadu terhadap multilateralisme, menangani cabaran global dan serantau dengan berkesan sambil memperkukuh pengaruhnya di platform antarabangsa utama.
Daripada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) hingga Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), serta penglibatan yang semakin meningkat dalam kumpulan seperti Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Malaysia menunjukkan kebijaksanaan dalam mengimbangi kepentingan nasional dengan tanggungjawabnya sebagai rakan global.
"Malaysia berjaya mempertahankan prinsipnya, mengejar keutamaannya, dan menyuarakan pendiriannya di tengah-tengah dunia yang semakin berpecah-belah," kata Izzah Ibrahim, penganalisis Dasar Luar dan Kajian Keselamatan di ISIS Malaysia.
Prestasi Malaysia dalam forum multilateral seperti ASEAN, BRICS, APEC, dan UNGA tahun ini menunjukkan komitmen yang konsisten untuk membentuk wacana global, dengan ASEAN menjadi tunjang penglibatan serantaunya, kata Izzah, yang juga penganalisis rantau Asia-Pasifik.
Malaysia menganggap ASEAN sebagai platform penting untuk memajukan isu strategik, ekonomi dan alam sekitar, mencerminkan kepercayaannya kepada tindakan kolektif untuk mencapai manfaat bersama, jelasnya.
“Daripada kestabilan politik kepada integrasi ekonomi, kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN yang akan datang terserlah melalui penglibatan menyeluruh merangkumi pelbagai kementerian, dari perdagangan dan pelancongan hingga belia dan sukan,” katanya.
Di UNGA, kenyataan Malaysia menegaskan pendirian tegasnya terhadap reformasi rangka kerja antarabangsa, menyeru pertanggungjawaban yang lebih besar dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa sambil memperjuangkan isu-isu seperti kuasa veto lima anggota tetap yang dikenali sebagai P5, Islamofobia dan nasib Palestin.
“Komitmen terhadap prinsip ini mencerminkan pendirian kukuh Malaysia terhadap multilateralisme dan keperluan reformasi rangka kerja antarabangsa, khususnya dalam menangani ketidaksamaan global,” kata Izzah.
Sementara itu, penyertaan Malaysia dalam APEC dan penglibatan awalnya dengan BRICS menunjukkan usaha negara untuk mempelbagaikan perkongsian ekonomi dan mengurangkan kebergantungan, satu strategi berhati-hati untuk melindungi kepentingan negara di tengah perubahan dinamik geopolitik.
Tahun ini menandakan langkah penting bagi Malaysia apabila ia secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada Oktober selepas menyerahkan permohonannya pada Julai.
Izzah berpendapat keupayaan Malaysia mengimbangi keutamaan serantau, ekonomi dan global terletak pada pendekatan pragmatik dan asas yang stabil.
Kedudukan geopolitik Malaysia yang agak terjamin membolehkannya menumpukan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, yang dilihat sebagai asas kepada kestabilan dan pengaruh jangka masa panjang negara.
“Pendekatan berkecuali Malaysia memberi fleksibiliti untuk berurusan dengan semua negara sambil kekal komited kepada norma berasaskan peraturan. Ini meningkatkan reputasi Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan konstruktif,” katanya.
Pendekatan berdasarkan isu menjadi kekuatan utama negara dalam kerjasama antarabangsa, membolehkan Malaysia menyelaras hubungan dengan negara-negara lain mengikut kepentingan.
“Pendekatan ini membolehkan Malaysia mendapatkan akses pasaran dan manfaat ekonomi, tetapi ia mesti memastikan pragmatisme ini tidak disalah tafsir sebagai ketidakaktifan atau sikap acuh tak acuh,” kata Izzah, sambil mengingatkan bahawa pragmatisme seperti itu kadangkala boleh disalah anggap sebagai pasif.
Untuk meningkatkan pengaruhnya di platform global, Izzah menegaskan Malaysia perlu menangani cabaran dalaman dan luaran.
“Malaysia perlu memastikan konsistensi dalam mesej dasar luarnya dan menyelaraskan tindakan dengan niat yang jelas. Kekaburan kadangkala telah merosakkan kredibiliti di pentas global,” katanya.
Penglibatan dengan kuasa besar global harus kekal berasaskan prinsip undang-undang serantau dan antarabangsa, manakala kerjasama dengan kuasa pertengahan dan kecil perlu melangkaui bidang tradisional untuk menunjukkan aspirasi multilateral Malaysia yang lebih luas, jelasnya.
“Membina kepercayaan dan keyakinan melalui penglibatan berprinsip dengan kuasa besar dan kecil akan menjadi kunci kepada aspirasi diplomasi Malaysia yang lebih kukuh,” katanya.
-- BERNAMA