SHANGHAI, 25 Dis (Bernama-Xinhua) -- Kilang pembuatan mega Tesla di Shanghai, China dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini, menurut Tesla China, lapor Xinhua.
Kemudahan itu yang mula dibina pada akhir Mei, akan dikhaskan untuk pengeluaran bateri penyimpanan tenaga syarikat berkenaan, Megapack.
Pengeluaran secara besar-besaran dijangka bermula pada suku pertama 2025 dengan kapasiti awal 10,000 unit setahun, bersamaan penyimpanan tenaga kira-kira 40 GWh.
Dengan keluasan kira-kira 200,000 meter persegi, kilang baharu itu melibatkan jumlah pelaburan sekitar 1.45 bilion yuan (kira-kira US$201.76 juta), menurut pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai).
Kilang pembuatan mega itu adalah yang pertama seumpamanya dibina Tesla di luar Amerika Syarikat dan kilang kedua syarikat itu di Shanghai selepas pembukaan kilang giganya pada 2019.
-- BERNAMA-XINHUA