AM

Kepengerusian ASEAN: MAHB Tingkat Sistem Pengurusan Operasi, Keselamatan Lapangan Terbang

24/12/2024 02:54 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan meningkatkan kemudahan infrastruktur, sistem pengurusan operasi dan tahap keselamatan di lapangan terbang bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkara itu dinyatakan Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani ketika kunjungan hormat di pejabatnya hari ini bagi membincangkan persediaan negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

“Mohd Izani berkongsi pandangan mengenai peranan penting MAHB dalam memastikan lapangan terbang utama negara bersedia menerima delegasi antarabangsa, termasuk pemimpin dan pegawai tinggi dari negara-negara ASEAN.

“Beliau turut menekankan usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur, sistem pengurusan operasi dan tahap keselamatan di lapangan terbang agar dapat memberikan pengalaman terbaik kepada para tetamu,” katanya dalam hantaran di laman sosial rasminya hari ini.

Shamsul Azri berkata beliau dan Mohd Izani turut membincangkan kepentingan kerjasama erat antara MAHB, kerajaan dan pelbagai agensi lain bagi memastikan kelancaran perjalanan delegasi dan penyediaan perkhidmatan bertaraf dunia.

“Dalam perbincangan ini, Mohd Izani turut menekankan komitmen MAHB dalam mempromosikan hospitaliti Malaysia yang menjadi elemen penting dalam membentuk imej negara di mata dunia.

“Saya yakin dengan persediaan rapi dan kerjasama erat semua pihak, Malaysia akan berjaya menjadi tuan rumah yang cemerlang dan meninggalkan impak positif sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya.

Beliau berkata pertemuan dengan Mohd Izani itu mencerminkan semangat bersama untuk memastikan kejayaan acara besar itu.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata MAHB telah diminta untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan di semua pintu masuk negara sebagai persiapan menghadapi Kepengerusian ASEAN tahun depan.

Loke berkata kerja menaik taraf dan penambahbaikan di semua pintu masuk negara khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur perlu disiapkan sebelum 31 Dis ini.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy