JAKARTA, 24 Dis (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia menyekat 180,954 kandungan dalam talian yang dikaitkan dengan tidak bertoleransi, radikalisme, ekstremisme dan keganasan sepanjang tahun ini, menurut Badan Nasional Anti-Keganasan (BNPT).
Kandungan itu yang berasal daripada kumpulan seperti Daesh, Hizbut Tahrir Indonesia dan Jamaah Ansharut Daulah disebarkan melalui platform digital untuk menyebarkan ideologi mereka, kata Ketua BNPT, Komisioner Jeneral Polis Eddy Hartono dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Pencegahan adalah kunci utama dalam menangani keganasan," tegas Eddy, sambil menekankan kepentingan pendekatan kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi untuk memastikan Indonesia kekal bebas daripada ancaman pengganas.
BNPT turut menjalankan kempen kesedaran secara meluas bagi mendidik rakyat tentang bahaya radikalisme serta memupuk keharmonian antara agama.
Dalam laporan Hab Pengetahuan Indonesia Mengenai Menentang Keganasan dan Ekstremisme Kekerasan (I-KHub), mendedahkan bahawa rangkaian pengganas sering menggunakan platform digital untuk merekrut anggota, menyebarkan fahaman ekstrem dan merancang tindakan ganas.
Laporan Counter Terrorism and Violent Extremism Outlook 2024 yang diterbitkan I-KHub bulan ini menggariskan ancaman ekstremisme berasaskan keganasan yang semakin meningkat melalui platform digital.
Laporan itu turut menggariskan bagaimana video dan kandungan seperti youtube @fulancool, TikTok @abuxxxxx serta Telegram Visi Akhir Zaman dan Markaz Aqiqah mempromosikan ideologi pelampau.
Saluran ini menggamit penglibatan yang ketara dengan jumlah tontonan, suka, perkongsian dan ulasan yang tinggi, meningkatkan jangkauan mesej mereka.
Laporan itu juga menyebut tiada serangan pengganas direkodkan di Indonesia sepanjang tempoh dua tahun dari Januari 2023 hingga Oktober 2024, susulan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melalui pendekatan serangan pencegahan.
Namun, keganasan masih menjadi ancaman keselamatan negara, dengan penahanan 147 suspek pengganas pada 2023 dan 39 setakat Oktober 2024.
-- BERNAMA