AM

Nahas KM204: Jenazah Pemandu Bas Persiaran Selamat Dikebumikan

24/12/2024 08:03 PM

JOHOR BAHRU, 24 Dis (Bernama) -- Jenazah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas, di sini, 5.30 petang tadi.

Van yang membawa jasad Noorisnien dari Hospital Melaka, tiba di Masjid Jamek Al Falah, Kampung Maju Jaya pada 4.15 petang sebelum solat jenazah dilakukan oleh kira-kira 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan rakan arwah.

Anak sulung Allahyarham, Mohamad Norzuhairi, 33, berkata dia dan tiga adiknya reda dengan pemergian mengejut bapa mereka yang disifatkannya sebagai seorang yang pendiam.

“Memang sudah ketentuan Ilahi, jadi kami terpaksa reda atas pemergian abah walaupun rasa terkejut.

“Abah seorang yang pendiam tetapi ada sifat kelakar dan tegas. Walaupun kami tinggal berjauhan tetapi kerap berhubung dan kali terakhir menerusi WhatsApp pada Rabu lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan itu.

Sementara itu, anak kedua Siti Norizyan, 30, berkata terdapat ramai individu yang membantu memaklumkan mengenai nahas kemalangan membabitkan bapanya malam tadi.

“Bertalu-talu orang hubungi kata abah sudah tiada dan saya segera hubungi pihak polis untuk dapat kesahihan, kemudian hubungi kira-kira tiga buah hospital untuk dapatkan keberadaan abah sebelum mengetahui jenazah berada di forensik Hospital Melaka,” katanya.

Tujuh individu termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan 8.45 malam tadi, membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.

 Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy