GAYA HIDUP

Pameran Animasi Malaysia: Selami Dunia Animasi Tempatan Di Muzium Negara

25/12/2024 10:43 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Siapa yang tidak kenal Hikayat Sang Kancil, Usop Sontorian, Keluang Man, Kampung Boy dan Didi & Friends yang menjadi sebahagian daripada sejarah animasi negara dan telah menemani pelbagai generasi.

Setiap siri animasi ini mempunyai pengaruh besar dalam membentuk industri kartun tempatan, sekali gus mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh peminatnya.

Bagi mengimbau kembali kenangan itu, Persatuan Animasi Malaysia (Animas) dengan sokongan Jabatan Muzium Malaysia, mengadakan pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti di Muzium Negara yang berlangsung hingga 31 Jan depan.

pic-2

Timbalan Presiden Animas Khairur Rizal Jalani berkata pameran berkonsepkan “edutainment” itu mengetengahkan perjalanan industri animasi Malaysia, bermula dari idea kreatif sehingga menjadi visual, menyelitkan seni dan budaya tempatan, serta berkembang bersama-sama dengan teknologi.

“Pameran ini mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan industri animasi dengan kerjasama pelbagai studio animasi tempatan. Kami mempamerkan hasil kerja mereka, termasuk projek animasi, watak, dan cerita yang dihasilkan di negara ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Katanya, pameran itu juga memberi ruang kepada pelajar, profesional dan peminat animasi untuk mempelajari dengan lebih lanjut penghasilan animasi dan penggunaan teknologi terkini, selain memberi inspirasi kepada mereka untuk menyertai bidang tersebut dan seterusnya berkembang dalam industri.

pic-3

Khairur Rizal berkata pameran turut memaparkan perjalanan penuh inspirasi individu yang menjadi tonggak industri.

“Antara koleksi yang dipamerkan ialah karya peribadi kartunis tersohor tanah air Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat), Mohamed Khairi Ibrahim (Aie Ibrahim) serta pelbagai maskot animasi.

“Kisah kejayaan individu seperti Kamarudin Ismail (Kamn Ismail), Ibrahim Anon (Ujang) dan Datuk Othman Yusof (Datuk MOY) membuktikan bahawa dengan usaha berterusan, tidak mustahil untuk merealisasikan sesuatu idea dan mencipta perubahan besar dalam industri,” katanya.

pic-4

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya mahu mempromosikan semula penerapan elemen tradisional seperti motif rekaan dan budaya dalam seni digital animasi pada masa akan datang.

“Kami berharap pameran ini dapat meningkatkan kesedaran tentang industri animasi tempatan serta memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda untuk menceburi bidang animasi, sekali gus mencorakkan identiti bangsa Malaysia yang pelbagai budaya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy