KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Cadangan melesenkan perkhidmatan media sosial adalah langkah bertepatan bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet antaranya pemangsaan digital terhadap kanak-kanak.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendedahkan realiti membimbangkan dalam kalangan masyarakat.
“Internet yang dahulunya diraikan sebagai ruang ilmu tanpa batas, kini menjadi medan gelap bagi mereka yang berniat mengeksploitasi kanak-kanak. Daripada pemangsa yang berlindung di sebalik profil tanpa nama kepada kandungan berbahaya dikaburi sebagai hiburan, kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Platform media sosial, komuniti permainan bahkan aplikasi pendidikan telah menjadi pintu masuk kepada pembulian siber, pengantunan dan pendedahan kepada bahan yang mengganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syerleena berkata kekurangan akauntabiliti dalam ruang digital membenarkan 'kengerian' itu berkembang tanpa kawalan sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan serta keselamatan kanak-kanak melalui peraturan yang jelas.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan melaksanakan peraturan ketat yang mewajibkan syarikat media sosial memberikan keutamaan kepada keselamatan pengguna dan mencegah penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
“Kita mesti menuntut pembaharuan segera dan menyeluruh untuk memastikan platform-platform ini bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka hoskan.
"Kita menggesa semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam talian yang melibatkan CSAM kepada pihak berkuasa. Melindungi kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab kolektif, ia keperluan moral yang memerlukan tindakan segera dan tegas,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk mengguna pakai kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Jan depan.
Pada 27 Julai lepas, MCMC mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Jan 2025.
Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa menjadi satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
-- BERNAMA