AM

Kerajaan Madani Terus Sokong Usaha Pastikan Keselamatan Kanak-kanak - Fahmi

24/12/2024 06:44 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara, serta tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa hadapan mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sekali lagi menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang undang.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial kanak-kanak terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Fahmi mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo, yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.

Beliau berkata tindakan tegas itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk secara dalam talian.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan 13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas ditangkap dalam serbuan di enam negeri yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 74 tahun, telah menemukan anggaran 40,000 CSAM dan bahan pornografi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy