JENAYAH & MAHKAMAH

Penolakan Saman Fitnah Terhadap Musa Hassan, Peguam Hannah Yeoh Fail Rayuan

26/12/2024 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Peguam Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Hannah, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata beliau menghormati proses kehakiman berkenaan namun telah mengarahkan peguamnya untuk memohon agar rayuan terbabit didengar dengan kadar segera.

“Saya dinasihatkan oleh peguam saya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi. Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Dis.

“Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhan berserta alasannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap Musa berhubung ucapannya dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan berkenaan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy