GEORGE TOWN, 26 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan petak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri ini yang membuat pembayaran dua cukai berkenaan mulai 2 Jan hingga 28 Feb 2025.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada minggu lepas.
Mesyuarat itu juga bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik yang membuat bayaran mulai 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
“Kedua-dua insentif dan tawaran itu turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak), bagaimanapun tawaran berkenaan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran," menurut kenyataan itu.
Tawaran berkenaan bukan berbentuk retrospektif dan tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian serta pengurangan dikuatkuasakan.
Semakan mendapati terdapat tunggakan denda lewat yang tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan 67,537 akaun cukai petak di Pulau Pinang yang berjumlah hampir RM40.1 juta.
"Sekiranya pemilik tidak membuat bayaran cukai tanah serta cukai petak dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh Pihak Berkuasa Negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada," menurut kenyataan itu.
Insentif diskaun yang diberikan bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan petak membayar cukai bagi 2025 lebih awal selain meringankan beban pemilik yang memiliki tunggakan denda cukai tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.
Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap semua pemilik mengambil peluang membuat bayaran masing-masing secepat mungkin mulai 2 Jan depan bagi menikmati tawaran pengecualian tunggakan denda.
Pembayaran boleh dibuat menerusi kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah atau secara talian melalui portal, PgLAND secara sekali gus (lump sum).
-- BERNAMA