JENAYAH & MAHKAMAH

Warganegara Anak: Wanita Indonesia Mohon Kebenaran Merayu Di Mahkamah Persekutuan

26/12/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Seorang wanita warga Indonesia memohon untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk memohon deklarasi bahawa anak lelaki keduanya yang kini berusia 14 tahun adalah warganegara Malaysia.

Wanita berusia 40-an itu memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan pada 23 Dis lepas, dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Menerusi notis tersebut yang diperoleh media hari ini, wanita berkenaan merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 Nov lepas dengan mengemukakan lima persoalan undang-undang.

Sementara itu, peguam A. Srimurugan yang mewakili wanita berkenaan ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.

Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki warga Malaysia pada 2000 dan mempunyai dua anak lelaki yang lahir pada 2004 serta 2010.

Kedua-duanya didaftarkan sebagai anak kepada suami wanita itu dan sijil kelahiran telah dikeluarkan kepada mereka.

Apabila anak kedua berumur 12 tahun, dia memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad) namun kesnya dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang persamaan fizikal dengan lelaki terbabit.

Semasa siasatan, lelaki terbabit mengaku bahawa remaja itu bukan anak kandungnya dan enggan melakukan ujian DNA yang menyebabkan sijil kelahiran dirampas manakala pengeluaran MyKad ditangguhkan kerana siasatan belum selesai.

Wanita itu kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia dengan memohon pengisytiharan bahawa anak lelakinya adalah warganegara Malaysia serta perintah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran selain mengeluarkan MyKad.

Pada 16 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula wanita itu dan keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 29 Nov lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy