DUNIA

Filem Penentangan Rakyat Malaysia Terhadap Penjajahan British, Ditayang Di Istanbul

26/12/2024 03:29 PM

ISTANBUL, 26 Dis (Bernama-AA) -- Filem "Pendekar Awang: Darah Indera Gajah" yang mengisahkan epik perjuangan pahlawan Malaysia, secara rasmi ditayangkan pada Rabu di Istanbul, sebuah bandar kosmopolitan di Turkiye, lapor Agensi Anadolu.

Filem yang berdasarkan kisah benar itu menggambarkan penentangan rakyat pada abad ke-19 terhadap penjajahan British di tanah Melayu.

Muzaffer Seyyahoglu, penyelaras Studio Kembara di Turkiye, memberitahu Agensi Anadolu bahawa filem itu bermula dengan seorang sarjana Melayu yang tinggal di Makkah pada era Uthmaniyah menulis surat kepada rakyat Malaysia, menyeru mereka untuk bangkit menentang penjajahan British.

“Apabila orang Melayu bersatu dan bertindak bersama, penjajah British berundur. Mereka berjaya menghalau penjajahan British. Filem ini berakhir dengan pengunduran British, tetapi akan ada kesinambungannya,” katanya.

Pelakon Malaysia, Ali Karimi berkata ramai rakyat Malaysia teruja dengan penayangan filem itu di Turkiye.

Beliau berkata, “Kami bersemangat untuk tayangan ini dan berusaha menjayakannya. Saya berharap jumlah penonton mencapai tahap tertinggi.

“Kerana ini adalah perjuangan untuk kemerdekaan dan pembebasan daripada penjajahan. Semasa melakonkan watak, kami berkongsi emosi dan pemikiran yang serupa semasa kami menghayati watak pahlawan kami.

“Pada asasnya, ini adalah perjuangan pembebasan Malaysia, satu perjuangan menuntut kebebasan daripada penjajahan. Kami berusaha untuk menyampaikan semangat itu sepenuhnya dalam filem ini.”

-- BERNAMA-AA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy