KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) positif terhadap pengumuman Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkaitan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), berikutan peningkatan perbelanjaan operasi (opex) itu dapat menyokong perancangan, pelaksanaan aktiviti operasi dan penyelenggaraan semua infrastruktur syarikat berkenaan.
Penganalisisnya Sean Lim berkata di bawah RP4, perbelanjaan modal (capex) dibenarkan adalah RM42.8 bilion yang merangkumi masing-masing RM26.6 bilion capex asas dan RM16.3 bilion capex luar jangka.
Angka itu, katanya, diterjemahkan kepada RM14.3 bilion purata capex tahunan yang diluluskan iaitu 108 peratus lebih tinggi daripada capex yang diluluskan dalam RP3.
"Opex yang dibenarkan juga meningkat 16 peratus kepada RM20.8 bilion berbanding RP3," katanya dalam nota penyelidikan bank pelaburan itu hari ini.
Selain itu, Lim berkata jumlah perbelanjaan modal tahunan dibenarkan sebanyak RM14.3 bilion juga meningkat daripada unjuran bank pelaburan itu iaitu sekitar RM8.6 bilion hingga RM9.6 bilion.
“Bagaimanapun, sementara menunggu butiran lebih terperinci oleh TNB, kami tidak pasti sama ada syarikat itu layak mendapat jumlah pulangan bersih terkawal penuh berdasarkan jumlah perbelanjaan modal yang dibenarkan," katanya.
Semalam, syarikat utiliti nasional itu mengumumkan di bawah RP4 yang dilaksanakan pada 2025 hingga 2027, tarif asas baharu untuk Semenanjung Malaysia adalah pada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWj), berkuat kuasa 1 Julai 2025 manakala kadar pulangan kawal selia telah dikekalkan pada 7.3 peratus mengikut RP3.
Di bawah RP3 bagi tempoh 2022 hingga 2024, kadar asas tarif ditetapkan pada 39.95 sen/kWh.
Lim berkata secara keseluruhannya, RHB IB terkejut namun positif dengan peningkatan capex diumumkan di bawah RP4 manakala kadar pulangan tidak berubah pada 7.3 peratus.
“Kami melihat peningkatan anggaran pulangan kawal selia bersih itu sebanyak lima hingga tujuh peratus jika ini turut merangkumi angka capex penuh.
“Selain itu, kami juga positif terhadap loji fotovoltan solar berskala besar (LSSPV) berkapasiti 500 megawatt (MWac) di bawah pusingan bidaan solar berskala besar (LSS5) kelima yang akan terus mengukuhkan jejak hijau domestiknya (TNB)," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata RHB IB mengekalkan saranan "beli" ke atas saham-saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM16.60 sesaham.
Pada 11.19 pagi ini, TNB muncul sebagai kaunter mencatat untung tertinggi di Bursa Malaysia apabila sahamnya melonjak 74 sen atau 5.22 peratus kepada RM14.92 dengan 9.01 juta saham saling berpindah tangan.
-- BERNAMA