Oleh Mustaqim Khairuddin
BACHOK, 28 Dis (Bernama) -- Musim tengkujuh datang bersama-sama dengan gulungan ombak tinggi, bermakna para nelayan di sini tidak dapat ke laut mencari rezeki.
Pun begitu, akur dengan aturan alam, semangat juang mereka tidak luntur, sebaliknya mengalih tumpuan kepada aktiviti di tepi pantai, menyauk ikan belanak demi memastikan dapur terus berasap.
Menjadi tradisi turun-temurun yang sudah sebati dengan darah nelayan mereka, menyauk ikan belanak bukan sekadar memberi pendapatan tetapi juga disifatkan oleh nelayan di sepanjang pantai jajahan Bachok ini sebagai satu kebanggaan dan simbol ketabahan, kerana mereka bertarung dengan ombak ganas Laut China Selatan yang membadai pantai.
pic-2
“Menyauk ikan belanak bagi kami adalah satu tradisi. Sejak kecil, saya melihat ayah dan datuk saya mengharungi ombak besar untuk menyauk ikan dan menjadi inspirasi besar untuk saya.
"Menyauk belanak tidak mudah, memerlukan latihan bertahun-tahun sebelum dapat menguasai kemahiran itu,” kata Suhairan Mohamed, 42, seorang nelayan di Kampung Pangkalan Baru di sini kepada Bernama,
Jelas lelaki ini, menyauk ikan belanak memerlukan kemahiran dan juga ketajaman mata bagi melihat pergerakan ikan lebih 100 meter selain keberanian mengharungi ombak besar yang bergulung menuju pantai.
pic-3
“Ikan belanak gemar mencari buih bercampur tanah liat yang dibawa oleh ombak dan hanya mereka yang berani menghadapinya akan meraih hasil yang berbaloi.
“Kami memulakan kerja seawal 8 pagi dan berakhir sekitar 6 petang. Setiap hari kami mampu menangkap 10 hingga 30 kilogram ikan belanak,” kongsinya, menambah sebahagian daripada hasil tangkapan dibawa pulang untuk keluarga dan sebahagian lagi dijual kepada peraih atau penduduk lain, dengan harga RM5 sekilogram.
Aktiviti menyauk ikan belanak ini unik kerana hanya sesuai dilakukan di pantai yang landai dan terlindung daripada hakisan seperti dari Pantai Kemasin hingga Pantai Sungai Gali yang meliputi jarak sejauh 50 kilometer.
pic-4
“Antara risiko terbesar ialah kawasan air pusar di pantai, di mana ikan belanak sering berkumpul. Jika tidak berhati-hati boleh meragut nyawa. Kami perlu tahu kedudukan air pusar dengan tepat untuk mengelakkan perkara tidak diingini,” kata Zulaiman Mat Ail, 53, nelayan dari Pantai Kemasin.
Meskipun berdepan risiko tinggi - sama ada terjatuh ke dalam pusaran air atau dihempas ombak besar - para nelayan Bachok tidak gentar kerana aktiviti itu memastikan kelangsungan hidup keluarga tatkala mengharungi musim tengkujuh.
-- BERNAMA