GAYA HIDUP

Keunikan Cita Rasa Peminat Minyak Wangi "Busuk"

28/12/2024 01:54 AM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pengguna minyak wangi selalunya memilih haruman yang memikat dan menyenangkan, namun bagi jejaka ini, dia lebih tertarik kepada aroma yang bagi kebanyakan orang berbau “busuk”.

Meminati dan menggunakan minyak wangi sejak berusia tujuh tahun, Muhamad Lukman Nur Hakim Rosmizan, 24, menggemari haruman yang jarang diterima ramai, seperti  aroma kuat berasaskan kayu gaharu atau berbau seperti tinja (najis) dan mengandungi unsur bau haiwan atau animalic.

pic-2

Bahan animalic ini, antaranya daripada musang yang mempunyai bau seakan kasturi, diadun dengan bahan-bahan lain seperti bunga-bungaan, gaharu, rempah dan bedak talkum menghasilkan aroma “busuk” termasuk peluh, bulu haiwan, tinja, muntah dan nanah.  

"Semasa saya kecil, ayah dan datuk saya merupakan penjual minyak atar, jadi dari kecil saya dah terbiasa dengan minyak wang beraroma kuat. Bila dah lama terdedah kepada bauan sedemikian, hidung seakan mangli dengan bau minyak wangi yang biasa orang pakai, jadi deria bau saya ‘mencari' aroma unik, lain daripada biasa, barulah saya rasa tertarik dan selesa dengan bauan tersebut.

  "Sewaktu sekolah menengah pula, saya mula memakai minyak wangi berasaskan oud (gaharu)  yang kuat, kemudian saya beralih kepada bau tembakau dan sekarang minat dengan aroma animalic. Walaupun ramai yang rasa bauan itu busuk,  pada saya itu yang membuatkan bauan tersebut menarik," kongsinya dengan Bernama. 

Sanggup berhabis termasuk membeli yang berharga RM1,800 sebotol, dia yang bekerja di sebuah kedai minyak wangi di ibu kota, berpandangan minyak wangi merupakan satu bentuk eskpresi personaliti seseorang yang bukan sahaja dapat memberi kepuasan kepada si pemakai tetapi juga menjadi sumber inspirasi.

Memiliki koleksi minyak wangi yang dihasilkan oleh pembuat haruman di Thailand, Oman dan beberapa negara lain, Muhammad Lukman berkata dia masih memakai wangian biasa termasuk haruman sitrus yang menyegarkan.

pic-3

Walaupun ada yang menyatakan aroma sedemikian kurang menyenangkan, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini percaya bahawa minyak wangi bukan sekadar bau, sebaliknya mempunyai nilai seni dan penceritaan tersendiri menerusi aroma yang dicetuskan. 

"Minyak wangi, selepas disembur mempunyai tiga peringkat bau, iaitu top, middle dan base. Maksudnya, bila mula disembur dan selepas beberapa ketika baunya berbeza. Jadi, ada yang bau busuk pada mula-mula disembur tapi bila dah lama jadi bau segar pula," katanya. 

“Jujurnya saya tidak kisah tentang pandangan orang lain kerana ini adalah pilihan peribadi saya. Ramai yang skeptikal pada awalnya, tapi bila mereka cuba, ada yang akhirnya suka dan mahu tahu lebih lanjut,” katanya yang mahu terus mencari dan mengumpul aroma unik.

Kata anak sulung daripada empat beradik ini, antara haruman yang diburu dan belum dimilikinya ialah bau kad kredit, yang menurutnya masih belum dapat dihidu sendiri mahupun dibayangkan aroma tersebut.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy