NEW YORK, 28 Dis (Bernama-dpa) -- Lebih ramai kanak-kanak kini tinggal di kawasan konflik atau terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran berbanding sebelum ini, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dianggarkan kira-kira 473 juta kanak-kanak tinggal di kawasan konflik - lebih daripada satu dalam setiap enam kanak-kanak di seluruh dunia, menurut laporan yang dikeluarkan agensi itu pada Sabtu.
Peratusan kanak-kanak yang tinggal di kawasan konflik telah meningkat dua kali ganda - daripada sekitar 10 peratus pada 1990-an kepada hampir 19 peratus hari ini, menurut UNICEF. Mereka menjadi mangsa pembunuhan dan kecederaan, terpaksa berhenti sekolah, tidak menerima vaksin penting atau mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.
“Berdasarkan hampir semua perbandingan, 2024 boleh dianggap sebagai antara tahun terburuk dalam sejarah UNICEF bagi kanak-kanak yang terjejas akibat konflik, baik dari segi jumlah kanak-kanak yang terlibat mahupun tahap kesan terhadap kehidupan mereka," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell, dalam satu kenyataan.
“Seorang kanak-kanak yang membesar di kawasan konflik jauh lebih berkemungkinan tidak bersekolah, mengalami kekurangan zat makanan atau diusir dari rumah mereka...Ini tidak seharusnya menjadi norma baharu. Kita tidak boleh membiarkan generasi kanak-kanak menjadi mangsa sampingan kepada peperangan dunia yang tidak terkawal.”
Menurut UNICEF 47.2 juta kanak-kanak menjadi pelarian akibat konflik dan keganasan menjelang akhir 2023. Trend bagi 2024 menunjukkan peningkatan lanjut dalam perpindahan ini kerana pelbagai konflik semakin meruncing, termasuk di Haiti, Lubnan, Myanmar, wilayah Palestin dan Sudan.
-- Bernama-dpa