Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Pendekatan yang dirangka secara tepat mampu menjadi langkah transformasi bagi pasaran karbon Malaysia selain menggalakkan industri mengurangkan pelepasan dan mewujudkan ekosistem perdagangan karbon yang mantap, kata Engie Services Malaysia Sdn Bhd.
Pengarah Urusannya Wong Yin Kee berkata cukai karbon misalnya dapat melengkapkan inisiatif seperti Bursa Carbon Exchange (BCX) di Bursa Malaysia, menyediakan isyarat harga yang telus serta membolehkan syarikat atau perniagaan meraih serta melakukan perdagangan kredit karbon dengan bertindak mengurangkan pelepasan karbon.
Ini tidak hanya memacu usaha penyahkarbonan tetapi turut menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran karbon global, seiring dengan mekanisme seperti Artikel 6.4 Perjanjian Paris, katanya.
Mekanisme Artikel 6.4 itu membolehkan negara-negara memperdagangkan pengurangan pelepasan karbon yang melangkaui usaha pengimbangan sifar dalam memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris.
“Bagi saya, menjadikan insentif kewangan seiring dengan pengurangan pelepasan adalah langkah yang tidak dapat dielak dalam usaha melengkapkan usaha penyahkarbonan Malaysia secara lebih meluas.
“Rekaan dan pelaksanaan yang tepat menjadi langkah penting dalam memastikan Malaysia mencapai matlamat pelepasan karbon sifar,” katanya kepada Bernama.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan rancangan melaksanakan cukai karbon untuk industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026 yang turut menekankan komitmen negara terhadap matlamat pengurangan pelepasannya.
Wong turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan dalam menyelaraskan cukai dengan sumbangan nasional yang ditentukan sendiri oleh negara (NDC) serta pelan peralihan tenaga Malaysia.
Sokongan terhadap industri dan komuniti yang terjejas seperti subsidi atau insentif pula akan memastikan peralihan inklusif selain mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Cukai Karbon
Selain itu, Wong berkata cukai karbon berperanan sebagai pemangkin penting bagi pasaran karbon Malaysia.
Kerajaan telah menghantar mesej jelas kepada industri untuk mengutamakan penyahkarbonan dengan menetapkan harga pelepasan, mewujudkan insentif kukuh bagi tujuan penerimagunaan teknologi rendah karbon dan amalan yang cekap tenaga.
Menurutnya, antara kelebihan utama pelaksanaan cukai karbon itu adalah memastikan eksport Malaysia terus berdaya saing, terutama dengan mekanisme seperti pelarasan sempadan karbon (CBAM) Kesatuan Eropah (EU).
CBAM akan memberi kesan kepada perniagaan di Malaysia, terutama industri berintensifkan karbon yang diketahui banyak bergantung kepada eksport ke destinasi EU seperti baja, aluminium, simen, besi dan keluli.
“Aspek daya saing ini membabitkan perjalanan kedua-dua hala. Cukai karbon menggalakkan amalan mampan dan penjajaran dengan piawaian global. Namun, CBAM mungkin mengundang kos tambahan yang mungkin tidak dapat dielakkan untuk perniagaan, terutama yang tidak membuat persediaan secukupnya untuk perubahan ini," katanya.
Sehubungan itu, Wong berkata perniagaan perlu memberi tumpuan terhadap usaha mengurangkan intensiti karbon bagi produk mereka, termasuk melibatkan transformasi operasi dan rantaian bekalan dengan menerimaguna amalan kelestarian selain meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan penggunaan tenaga, mengamalkan tenaga hijau atau gabungan kedua-duanya.
“Inilah ruang yang Engie boleh lakukan bagi melihat perbezaannya. Kami membantu industri beralih kepada amalan hijau dengan menawarkan penyelesaian seperti tenaga solar di lapangan dan pemerolehan tenaga boleh baharu (TBB) dalam skala besar.
“Kami menawarkan program kecekapan tenaga seperti kontrak prestasi tenaga lanjutan bagi membantu perniagaan mengurangkan pelepasan dan menjimatkan kos," katanya.
Wong berkata walaupun pelaksanaan cukai karbon 2026 menyasarkan sektor tertentu, skop itu dijangka diperluas dari semasa ke semasa yang memerlukan syarikat membuat persediaan mulai sekarang dan mengelak potensi gangguan kepada perniagaan.
Cabaran Pelaksanaan Cukai Karbon
Pelaksanaan cukai karbon adalah peralihan penting yang boleh menjadi pemangkin untuk membuka peluang bagi Malaysia mempercepatkan pertumbuhan mampannya yang pastinya terselit dengan cabaran.
Ini termasuk cabaran dalam bentuk daya saing yang mana industri berintensifkan tenaga yang dipacu oleh eksport mungkin berdepan kos lebih tinggi dan menjejaskan kedudukan global mereka.
Cabaran lain adalah peningkatan kos pengeluaran yang boleh meningkatkan harga pengguna dan mungkin mencetuskan kebimbangan dalam persekitaran yang sensitif terhadap kos.
Wong berkata industri misalnya berkemungkinan mengalihkan operasi ke negara tanpa penetapan harga karbon yang boleh mengurangkan aspek keberkesanan cukai.
Industri yang banyak menggunakan tenaga pula mungkin menentang pelaksanaan cukai karbon berikutan peningkatan kos yang boleh menjejaskan keuntungan operasi dan memerlukan pendekatan secara beransur-ansur dan bersifat sokongan.
Beliau berkata pelaksanaan cukai karbon mungkin tidak mudah pada peringkat awal, terutamanya untuk sektor intensif tenaga.
Sehubungan itu, katanya usaha mengatasi cabaran itu memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan, industri dan masyarakat.
"Saya yakin seiring masa, perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan adanya dasar yang konsisten serta mekanisme sokongan yang tepat seperti subsidi untuk sektor yang terdedah dan komunikasi yang telus.
“Malaysia perlu mewujudkan rangka kerja yang padu untuk membina kepercayaan dan memastikan peralihan yang inklusif," katanya.
Wong juga menyifatkan cukai karbon itu boleh memberi kesan kepada sektor berintensifkan tenaga seperti keluli, besi dan tenaga selain meningkatkan kos akibat harga tenaga serta fi pelepasan yang lebih tinggi.
Ini berikutan kebanyakan perniagaan akan melepaskan kos tambahan itu kepada pelanggan yang cenderung menaikkan harga serta berpotensi menjejaskan permintaan.
Kesemua cabaran itu boleh dikurangkan menerusi perancangan jangka panjang dan pelaksanaan penyelesaian rendah karbon, termasuk langkah kecekapan tenaga serta penggunaan TBB.
“Ini masa yang sesuai bagi perniagaan membangunkan dan melaksanakan pelan hala tuju penyahkarbonan.
“Tindakan awal akan membantu mewujudkan aspek penanda aras dalaman dan menjadikannya lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan peraturan masa depan yang lebih lancar.
“Pemimpin juga perlu mula mengambil kira harga karbon dalam pelan atau perancangan pelaburan selain strategi operasi bagi membuktikan perniagaan mereka di masa hadapan dari segi peningkatan pematuhan dan permintaan alam sekitar," katanya.
Pada masa sama, katanya, kempen pendidikan awam juga penting untuk menyerlahkan faedah jangka panjang cukai karbon ketika perniagaan perlu aktif meneruskan strategi penyahkarbonan.
"Engie, sebagai contoh, telah bekerjasama dengan UAC Bhd di Ipoh untuk pemodenan dan menyahkarbon infrastruktur utiliti mereka dengan mengurangkan lebih 13,000 tan pelepasan karbon setiap tahun.
"Kerjasama ini menunjukkan potensi usaha secara kolektif agar sejajar dengan cita-cita pelepasan karbon sifar bersih Malaysia," katanya.
-- BERNAMA