KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Masyarakat Korea di Malaysia mendirikan altar takziah bersama bagi memperingati mangsa tragedi nahas Jeju Air di Korea Selatan.
Altar berkenaan dibuka kepada orang ramai di premis masyarakat Korea di Plaza Mont Kiara bermula Selasa (31 Dis 2024) hingga Jumaat (3 Jan 2025).
"Rakyat Malaysia dialu-alukan untuk memberikan penghormatan terakhir," menurut kenyataan persatuan itu pada Selasa.
Altar itu boleh diakses setiap hari dari 10 pagi hingga 12 tengah hari, dan 2 petang hingga 5 petang.
Pengunjung digalakkan untuk bertafakur sejenak, memberikan penghormatan dengan bunga dan menandatangani buku pelawat.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 03-6203 2834 atau 03-6203 3834.
Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada Korea Selatan dan Thailand susulan tragedi nahas pesawat di Lapangan Terbang Muan pada Ahad lalu.
Ucapan takziah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook pada hari yang sama, dengan rasa sedih dan simpati yang mendalam terhadap keluarga mangsa serta insan tersayang yang terkorban dalam tragedi itu.
Pesawat malang itu membawa 175 penumpang termasuk 173 warga Korea Selatan dan dua warga Thailand serta enam anak kapal, terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya Seoul pada 9.07 pagi waktu tempatan Ahad lalu.
Insiden itu mengorbankan 179 daripada 181 orang di dalamnya.
-- BERNAMA