KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Pemain beregu campuran negara diingatkan supaya tidak memandang rendah, dan sentiasa berwaspada dengan beberapa muka baharu yang bakal membuat penampilan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 pada 7 hingga 12 Jan ini.
Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata antara pasangan baharu yang dilihat mampu memberikan cabaran kepada wakil Malaysia ialah beregu Hong Kong Tang Chun Man-Ng Tsz Yau serta gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
“Beregu-beregu baharu ini saya lihat mereka memang kuat. Sebab tahap gandingan baharu mereka juga tak jauh, malah ada yang sama tahap.
“Kemungkinan besar kita akan jumpa beregu macam ini pada pusingan pertama kerana mereka ini tidak ada kedudukan.
“Jadi harap pemain kita akan lebih bersedia jumpa beregu baharu ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.
Mengulas persiapan beregu campuran negara menjelang Terbuka Malaysia 2025 Nova berkata semuanya berjalan lancar dan pemain-pemain bersemangat untuk menyertai kejohanan itu.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk anak buahnya, namun berharap mereka boleh memberikan persembahan terbaik.
“Bermain di Malaysia sudah tentu tidak mudah kerana beraksi di depan penyokong sendiri, itu sudah tentu ada tekanan.
“Saya tidak mahu letakkan sasaran kepada mereka ini menjadi juara kerana takut bagi tekanan kepada mereka. Jadi saya harap mereka boleh beri aksi yang terbaik nanti,” katanya.
Malaysia bakal mempunyai dua wakil dalam acara beregu campuran pada Terbuka Malaysia 2025 iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron Cheng Su Yin.
-- BERNAMA