EKONOMI

Firma Taiwan Linco Technology Beli Tanah Di Senai Airport City

03/01/2025 10:02 AM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB) dan Lincotec Technology (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Linco Technology Co. Ltd, Taiwan memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) untuk Lincotec membeli 4.02 hektar tanah perindustrian di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City Gan Seng Keong berkata taman perindustrian itu berfungsi sebagai lokasi utama bagi industri yang terlibat dalam pembuatan berteknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi.

SACSB, ahli Kumpulan MMC, ialah pemaju induk pembangunan industri bersepadu seluas 1,100 hektar yang dikenali sebagai Senai Airport City, terletak di Iskandar Malaysia, Johor.

Gan berkata pilihan Linco Technology untuk melabur di Senai Airport City menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Johor dalam industri Kecerdasan Buatan (AI).

"Pelaburan Linco Technology dalam sistem semikonduktor dalam pakej (SiP) menggariskan kedudukan Senai Airport City sebagai pilihan pelabur untuk segmen semikonduktor, khususnya dengan aplikasi teknologi hijau.

"Kerjasama antara pelabur teknologi Malaysia dan Taiwan ini akan melonjakkan lagi rantaian bekalan teknologi tempatan,” kata Gan.

Lincotec adalah pakar dalam membangunkan dan mengeluarkan peralatan “sputtering” dan etsa plasma berketepatan tinggi dan merupakan pembekal peralatan sputtering No.1 dunia untuk “Electromagnetic Interference Shielding” (EMI) sistem semikonduktor dalam pakej (SiP).

Pengerusi Linco Technology Leon Chen berkata pelaburan dalam kemudahan baharu itu menandakan satu langkah penting untuk mengembangkan operasi syarikat dalam membangunkan segmen teknologi hijau.

“Senai Airport City memberikan kami lokasi dan infrastruktur yang ideal untuk meningkatkan operasi kami di rantau Asia Pasifik.

"Ini adalah peluang menarik untuk bukan sahaja mengembangkan perniagaan kami, tetapi untuk memupuk kerjasama dalam inisiatif teknologi hijau yang akan memacu kejayaan jangka panjang di Malaysia,” kata Chen.

Pelaburan oleh Lincotec ini adalah bukti peningkatan Senai Airport City sebagai destinasi pelaburan strategik untuk syarikat teknologi yang ingin menerokai pasaran Asia Pasifik.

Sinergi antara Linco Technology dengan syarikat global setempat akan mempercepatkan pertumbuhan Johor dalam segmen semikonduktor yang menyokong pertumbuhan AI, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy