KOTA KINABALU, 5 Jan (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM461 juta kepada 2,283 usahawan francais di seluruh negara sejak 2014.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu sebanyak RM12.4 juta pembiayaan diberikan kepada 68 usahawan francais di Sabah bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Industri francais semakin berkembang pesat dan ini petanda positif untuk terus merangsang ekonomi domestik. Setakat ini, sebanyak 3,565 usahawan francais terdiri daripada francaisor dan francaisi didaftarkan di bawah sistem Malaysia Franchise Express 2.0 (MyFEX 2.0),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Cabutan Bertuah Robert T 1994, di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Pengarah Eksekutif Robert T 1994 Dr Robert Tang, dan Pengarah Urusan Robert T 1994 Hwang Chyi Chyi (SHE).
Ewon berkata bagi tahun ini pula sebanyak RM6 juta diperuntukkan khas untuk pembiayaan Skim Young Entrepreneurship Engagement Talent Programme (YOUNITY) dan Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent Programme (SWEET).
“Sebanyak RM3.5 juta untuk program I-VIP (Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan). Manakala RM29 juta disediakan khusus untuk pembiayaan francais dan pra-francais,” katanya.
Beliau berkata tahun lepas Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH) yang dijalankan KUSKOP bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) membantu 40 usahawan tempatan bagi mentransformasikan perniagaan mereka ke arah francais.
“Di Sabah, terdapat pelbagai jenama francais tempatan seperti Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen Mok dan Happy Potato telah menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya dan menambah PERNAS giat meningkatkan jenama francais tempatan melalui kerjasama kementerian dan agensi di negeri ini.
Sementara itu, Ewon berkata PERNAS menyalurkan pembiayaan berjumlah RM500,000 kepada Robert T 1994, jenama cermin mata diusahakan usahawan tempatan di Borneo.
Beliau berkata pembiayaan itu adalah untuk membantu Robert T 1994 mengembangkan lagi premis mereka di seluruh Sabah dan berharap syarikat ini terus berkembang pesat seperti usahawan-usahawan francais yang lain.
“Melalui pembiayaan RM500,000, saya juga berharap ia memberi motivasi dan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain di seluruh negara supaya turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan.
“KUSKOP dan agensi-agensi seperti PERNAS terus menawarkan perkhidmatan dan pembiayaan yang bersesuaian dan diperlukan oleh usahawan agar dapat menyumbang kepada ekonomi negara kita seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA