KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sah tidak akan beraksi pada dua lagi kejohanan iaitu Terbuka India 2025 dan Masters Indonesia 2025.
Berdasarkan penyertaan pemain dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman web bwf.tournamentsoftware.com, didapati nama pemain ranking keenam dunia itu tiada dalam senarai kedua-dua kejohanan itu.
Terbuka India 2025 dijadualkan pada 14 hingga 19 Jan ini manakala Masters Indonesia pada 21 hingga 26 Jan.
Sebelum ini Zii Jia turut menarik diri pada Terbuka Malaysia 2025 yang bermula hari ini hingga 12 Jan di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.
Menurut hantaran Team LZJ menerusi media sosial pada Jumaat, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya semasa Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lepas.
-- BERNAMA