AM

Warga KESUMA Perlu Main Peranan Sebagai Duta, Promosi Perkhidmatan Ditawar Kementerian

07/01/2025 12:18 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensi di bawahnya perlu memainkan peranan sebagai duta dengan mempromosikan perkhidmatan ditawarkan kementerian serta menyebarkan maklumat yang betul kepada rakyat.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata warga KESUMA juga perlu sentiasa ringan tulang membantu masalah dihadapi rakyat termasuk menyalurkan maklumat berkaitan sesuatu kes kepada jabatan yang bertanggungjawab.

“Jadi kita sebagai duta KESUMA mempromosikan perkhidmatan, membantu menaikkan nama kementerian dan memberikan penerangan (kepada rakyat) walaupun ia bukan bidang kuasa kita, bukan dalam jabatan kita atau agensi kita.

“Bayangkan 15,000 warga KESUMA di luar sana memberikan penerangan, memberikan pencerahan, saya yakin hujung tahun ini KESUMA akan menjadi kementerian yang terbaik dan cemerlang,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KESUMA di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof.

Sim berkata KESUMA juga komited untuk memperkukuh pembangunan modal insan, melindungi hak pekerja dan meningkatkan daya saing tenaga kerja negara selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

Beliau berkata antara inisiatif dirancang kementerian ialah menyediakan pelbagai program latihan dan kursus untuk meningkatkan kemahiran pekerja agar lebih berdaya saing.

“Usaha ini sejajar dengan keperluan industri dan memastikan pekerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang dinamik,” katanya.

Selain itu, Sim berkata KESUMA akan terus melaksanakan Dasar Sumber Manusia termasuk pelaksanaan polisi yang menyokong pembangunan tenaga kerja berkualiti tinggi serta memperluas peluang pekerjaan bagi semua lapisan masyarakat.

Dasar itu, katanya akan menjadi teras kepada usaha KESUMA untuk mewujudkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya tahan dan berdaya saing sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy