GAYA HIDUP

Belanja RM1,000 Sebulan Untuk Buat Ulasan Hotel

07/01/2025 11:04 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Demi minat, seorang eksekutif kanan di sebuah institusi kewangan sanggup membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk menginap di hotel berlainan hampir setiap hujung minggu sebelum menulis ulasan dan pengalaman penginapan di laman sesawangnya. 

Dalam tempoh empat tahun sejak 2020, Burhanuddin Abdul Jalil, 55,  telah menempah dan menginap di 169 hotel meliputi 234 hari penginapan. 

“Sebelum 2020, hobi saya lebih kepada fotografi dan subjek kegemaran saya ialah landskap, iaitu merakam pemandangan alam yang menarik dari tempat atau bangunan tinggi di merata tempat, termasuk di Indonesia.

“Apabila ada larangan perjalanan akibat COVID-19, saya bingung tak tahu nak buat apa. Jadi, saya ambil peluang tempah hotel di sekitar ibu negara memandangkan premis penginapan ketika itu masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard tertentu,” katanya kepada Bernama.

Burhanuddin atau mesra dipanggil Bob, berkata aktiviti itu yang pada awalnya dilakukan bagi mengatasi kebosanan kerana tidak dapat bergerak jauh, kini menjadi satu “ketagihan” dan “keseronokan” untuk beliau.

“Kawan-kawan juga asyik meminta pandangan hotel mana yang menarik untuk mereka inap, jadi timbul idea untuk saya menulis ulasan setiap hotel saya pergi. Tambahan pula saya juga pandai mengambil gambar,” katanya, menambah beliau tidak ditaja oleh mana-mana hotel untuk membuat ulasan itu.

pic-2

Burhanuddin berkata beliau menulis dan memberikan ulasan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang secara terperinci, termasuk lokasi, susun atur perabot di dalam bilik serta kemudahan dan layanan staf.

“Saya menulis dalam esei ringkas menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami. Alhamdulillah, saya terima banyak maklum balas positif, dan ulasan saya membantu orang ramai di luar sana membuat keputusan untuk memilih hotel yang ideal buat mereka,” katanya.

Selain menulis di laman sesawangnya https://hanuds.wixsite.com/hanudds, beliau juga menyumbang artikel untuk Facebook Hotel Review Malaysia.

Berkongsi tip, Burhanuddin berkata ada beberapa aplikasi dalam talian yang boleh digunakan sebagai panduan dan perbandingan harga hotel. 

Lazimnya harga lebih murah sekiranya tempahan dibuat dua atau tiga bulan lebih awal dari tarikh daftar masuk, katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy