KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung bagi saham wajaran tinggi terpilih, diheret turun terutamanya oleh kaunter perladangan.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.55 mata atau 0.34 peratus kepada 1,609.28 berbanding paras 1,614.83 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 3.34 mata pada 1,618.17 dan diniagakan dalam julat 1,605.39 hingga 1,618.17 pada sesi dagangan pagi ini.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 716 berbanding 232 manakala 469 kaunter tidak berubah, 953 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.97 bilion unit bernilai RM1.46 bilion.
Sementara itu, firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) mampu mengekalkan sentimen pelaburan yang positif dalam masa terdekat.
Sentimen optimis itu, katanya, ditegaskan lagi oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) serta perkembangan berkaitan pusat data walaupun di tengah-tengah senario tekanan jualan yang ketara.
“Selain itu, kita juga kekal optimis mengenai kaunter-kaunter berkaitan Pulau Pinang susulan pengumuman enam projek air bernilai RM1.8 bilion dan bermulanya projek Transit Aliran Ringan Pulau Pinang.
“Berikutan itu, kami mengekalkan prospek memberangsangkan bagi sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan serta utiliti,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Sementara itu, Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata sentimen menolak risiko itu muncul susulan laporan bahawa Presiden dipilih Donald Trump berkemungkinan mengisytiharkan darurat ekonomi kebangsaan bagi memperkenalkan program tarif baharu.
Beliau berkata perkembangan itu dijangka menjadi tumpuan utama dalam sesi-sesi akan datang memandangkan pentadbiran Trump dijangka mengekalkan tekanan ke atas negara-negara yang menjadi sasaran sejurus pelantikan beliau.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Kuala Lumpur Kepong susut enam sen kepada RM21.34, IOI Corporation turun satu sen kepada RM3.85 manakala QL Resources mendatar pada RM4.61.
Bagaimanapun, Maxis meraih enam sen kepada RM3.62 manakala Petronas Dagangan pulih 30 sen kepada RM19.94.
Bagi saham aktif, Velocity susut setengah sen kepada 7.5 sen, MYEG turun 1.5 sen kepada 94.5 sen manakala Swift Energy dan Sarawak Cable naik dua sen masing-masing kepada 41.5 sen dan 14 sen selain Supermax yang tidak berubah pada RM1.17.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas merosot 62.84 mata kepada 12,367.50, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 97.41 mata kepada 12,329.62 dan Indeks FBMT 100 turun 58.77 mata kepada 12,046.80.
Indeks FBM 70 merosot 154.64 mata kepada 18,607.51 manakala Indeks FBM ACE turun 16.78 mata kepada 5,361.391.
Bagi sektor, Indeks Perladangan turun 21.70 mata kepada 7,534.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.65 mata kepada 171.69, Indeks Tenaga susut 7.06 mata kepada 844.80 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 18.07 mata kepada 18,916.45.
-- BERNAMA