Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) solar dengan Kejuruteraan Cahaya Abadi Sdn Bhd (KCASB) bagi penjimatan hasil penggunaan elektrik bernilai hampir RM500,000.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata KCASB akan melaksanakan projek pemasangan dan penyelenggaraan sistem tenaga solar di bangunan MATRADE dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Ini adalah satu inisiatif besar yang kami ambil bagi tujuan penjimatan dan pengurangan kos operasi.
“Selain itu, langkah ini juga diambil bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia yang menggalakkan penggunaan tenaga solar sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempertingkat sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian PPA di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong aspirasi negara untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KCASB Muhammad Syafie Zainal Abidin berkata kerja-kerja pemasangan solar di bangunan MATRADE dan MITEC dijangka siap tahun ini.
Menurutnya keseluruhan kapasiti adalah dalam lingkungan 3.3 megawatt puncak (MWp), dengan kapasiti projek di MATRADE sebanyak 832 kWp manakala MITEC 2560.32 kWp.
Bercakap kepada Bernama, Muhammad Syafie berharap kerjasama dengan agensi berkenaan dapat membantu syarikat untuk melangkah lebih jauh dengan mengembangkan perniagaan solar ke peringkat antarabangsa.
“KCASB merupakan syarikat Bumiputera yang telah menceburi bidang solar sejak 2018 dan projek solar bersama MATRADE merupakan pencapaian terbesar untuk syarikat ini.
“Selain itu, syarikat kami juga sedang mencari peluang untuk menembusi pasaran luar negara seperti di Thailand, Singapura, Vietnam dan Kemboja bagi perniagaan solar,” katanya.
Beliau berkata, syarikatnya akan menyertai Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebaik sahaja pendaftaran dibuka tahun ini dan berhasrat untuk menembusi pasaran luar pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.
-- BERNAMA