Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Pasaran getah tempatan ditutup lebih tinggi pada hari ini selepas disokong oleh aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah yang stabil, kata seorang peniaga.
Sentimen pasaran terus dipacu oleh jangkaan langkah rangsangan tambahan dari China untuk mengurangkan impak pengenalan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), katanya kepada Bernama.
“Namun, kenaikan selanjutnya telah dihadkan oleh data ekonomi China yang lemah, peningkatan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan AS-China di tengah-tengah lonjakan keyakinan bahawa AS akan mengurangkan kadar faedah pada kadar yang lebih perlahan pada 2025,” kata peniaga itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa niaga hadapan getah Jepun memuncak lebih tinggi hari ini, disokong oleh yen yang mencecah paras terendah.
Namun, data penggunaan yang agak lembap dari China, pengguna terbesar dunia, mengehadkan kenaikan harga.
Setakat 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan SMR 20 menokok 11.5 sen kepada 860 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut sebanyak 2.5 sen kepada 678 sen sekilogram.
-- BERNAMA