EKONOMI

Potongan Capex Petronas Diunjur Tidak Lebih RM10 Bilion Setahun - Kenanga IB

10/01/2025 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan sebarang potensi potongan perbelanjaan modal (capex) oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) susulan perjanjian pengagihan gas dengan Petros di Sarawak, tidak akan melebihi RM10 bilion setahun.

Bank pelaburan itu berkata pengurangan itu dilihat sebagai sederhana daripada unjuran capex Petronas sebanyak RM60 bilion setahun.

“Kami percaya kiraan itu adalah wajar memandangkan Sarawak masih perlu membayar infrastruktur gas asli cecair (LNG) yang dibangunkan oleh Petronas sebelum ini, termasuk tren LNG dan loji pencairan," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Selain itu, Kenanga IB berkata atas dasar demi kepentingan bersama Petros dan Petronas, kedua-dua syarikat itu dijangka pada akhirnya akan meningkatkan pelaburan huluan untuk memaksimumkan potensi pendapatan jangka panjang masing-masing.

Laporan media baru-baru ini menyatakan rundingan pengagihan gas di Sarawak membabitkan Petronas dan Petros telah selesai dengan kerajaan kini memperhalusi butiran serta implikasi perjanjian itu. 

Kenanga IB berkata syarikat minyak nasional serantau juga kekal dalam usaha mengembangkan capex dan selepas perjanjian gas Petros itu dimuktamadkan, Petronas mampu meningkatkan perbelanjaannya menjelang separuh kedua 2025.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy