JENAYAH & MAHKAMAH

Penghuni Pusat Jagaan Mengaku Bersalah Bunuh Penghuni Lain, Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental

10/01/2025 02:02 PM

IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Seorang penghuni pusat jagaan swasta yang didakwa menyebabkan kematian seorang penghuni lain di pusat tersebut, telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Hakim Azizah Ahmad memerintahkan Muhammad Firdaus Zohare, 32, dihantar ke hospital tersebut untuk pemerhatian selama sebulan dan menetapkan 18 Feb untuk sebutan semula kes.

Perintah itu dibuat selepas permohonan Muhammad Firdaus, yang tidak diwakili peguam, memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah menjadi pesakit mental selama lapan tahun.

Muhammad Firdaus didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, Muhammad Firdaus didakwa dengan niat menyebabkan kematian Muhammad Afiq Wafiuddin Lokeman, 25, di pusat jagaan Fitrah Nursing Care di Ipoh pada pukul 7.45 pagi, 31 Dis 2024.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Vitthiyeswary.

Selasa lepas, media melaporkan polis menahan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan dalam bilik tidur di pusat rawatan swasta di Pasir Puteh di sini. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy