AM

HPUSM Salur Bantuan Lebih RM200,00 Untuk 68 Pesakit Tahun Lepas

12/01/2025 11:13 AM

KOTA BHARU, 12 Jan (Bernama) -- Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah membantu 68 pesakit menerusi Tabung Kebajikan Pesakit dengan kos keseluruhan RM206,398 sepanjang tahun lepas, kata pengarahnya Prof Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani.

Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding 57 pesakit pada 2023 dengan kos berjumlah RM143,424.

“HPUSM sentiasa komited menyediakan rawatan terbaik kepada pesakit, namun masih terdapat dalam kalangan mereka yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan.

“Tabung ini diwujudkan untuk meringankan beban kewangan pesakit kurang bernasib baik agar mereka tidak dipinggirkan dan dapat menerima rawatan setaraf pesakit lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM di sini malam tadi.

Dr Ab Rahman Izaini berkata setiap sumbangan penderma digunakan secara berhemat bagi memastikan lebih ramai pesakit memerlukan dapat dibantu tanpa menjejaskan kualiti rawatan.

“Walaupun jumlah bantuan ini kelihatan besar, masih ramai pesakit tidak dapat dibantu sepenuhnya akibat kos rawatan yang terus meningkat setiap tahun.

“Kenaikan angka ini menunjukkan masih ramai terutama golongan B40 dan asnaf yang bergantung kepada bantuan untuk meneruskan rawatan,” katanya.

Beliau berkata pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada pesakit layak sejak tabung itu diwujudkan pada 1987 termasuk peralatan perubatan, peralatan sokongan, prostesis dan ortosis, makanan khas serta ubat-ubatan.

Dr Ab Rahman Izaini berkata penarafan HUSM sebagai hospital pakar bermula Oktober lepas secara tidak langsung telah meningkatkan imej hospital itu, selain memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan melalui pelbagai kepakaran.

– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy