AM

GiatMARA Berjaya Lahir Ramai Usahawan Berjaya Sepanjang 39 Tahun Penubuhan - Ahmad Zahid

12/01/2025 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Sejak ditubuhkan 39 tahun lepas bermula pada 12 Jan 1986, GiatMARA telah berjaya memainkan peranan aktif dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan usahawan yang berjaya di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan 232 cawangan di seluruh Malaysia, GiatMARA terus komited dalam memperkasakan bidang latihan kemahiran teknikal dan vokasional yang selaras dengan keperluan industri masa kini.

“Kejayaan GiatMARA melahirkan graduan yang berkualiti mencerminkan dedikasi mereka dalam memastikan setiap pelajar bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga bersedia untuk mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini. 

Ahmad Zahid yang Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara menzahirkan perasaan bangga atas kejayaan sepanjang hampir empat dekad itu dan turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-39 GiatMARA.

Beliau turut mendoakan semoga institusi berkenaan terus berkembang pesat, memperkasakan lebih ramai rakyat di negara ini dan menjadi peneraju utama dalam memperkasakan agenda TVET negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy