Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin
IPOH, 12 Jan (Bernama) -- Bergelar wanita, muda pula, menjadi cabaran terbesar buat Khairin Qisstina Mohamad Syakirin dalam menjalankan tugasnya sebagai mekanik, sekalipun berkelulusan Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang teknologi automotif.
“Boleh ke ni baiki kereta saya?” Soalan skeptikal sebegini kerap didengari oleh gadis berusia 20 tahun tersebut dan membakar semangatnya untuk membuktikan kemampuan diri.
“Saya tanamkan dalam hati (bahawa untuk) menjadi mekanik ini perlukan hati yang kuat dan tidak mudah beremosi sewaktu berurusan dengan para pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Khairin Qisstina merupakan satu-satunya mekanik wanita di MTH Autohaus & Accessories di Taman Pengkalan Jaya di sini, dan dengan ketinggian 165 sentimeter serta bertubuh kurus, dia memahami faktor yang membuatkan pelanggan ragu-ragu akan kebolehannya.
“Benar, kudrat saya tidak sekuat lelaki, namun saya tidak jadikan itu sebagai alasan untuk berhenti, kerana selain minat, saya meneruskan hasrat arwah abang sulung saya yang semasa hayatnya gemarkan bidang automotif,” jelasnya.
pic-2
Mesra disapa Khai, gadis ini berkata arwah abangnya Muhammad Aqil Khairin memainkan peranan dalam mencetuskan minatnya terhadap bidang itu.
“Minat terhadap bidang ini mula berputik ketika saya berusia sembilan tahun apabila sering didedahkan kepada pelbagai informasi berkaitan jenis atau model kereta mewah oleh arwah abang. Arwah berhasrat menceburi bidang automotif,” katanya, menambah abangnya meninggal dunia lebih lima tahun lalu pada usia 18 tahun akibat meningitis.
Setahun selepas kematian abang, Khairin Qisstina menyambung pendidikan di Kolej Vokasional Lebuh Cator, di mana dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional sebelum meneruskan pendidikan di peringkat diploma.
Anak kedua daripada lima beradik ini kemudian menjalani latihan industri di tempat kerjanya sekarang sebelum diambil sebagai pekerja tetap oleh majikan.
“Memang sukar untuk buktikan kita setara kudrat dan ketangkasan lelaki. Namun saya bersyukur kerana mempunyai rakan sekerja yang banyak membantu dan sentiasa memberi tunjuk ajar,” katanya yang baru dua bulan bergelar pekerja tetap di bengkel tersebut.
Jelas anak jati Ipoh itu, antara kerja pembaikan paling mencabar buatnya ialah ketika mengeluarkan kotak gear daripada kenderaan, terutama model Proton yang katanya mengambil masa tiga hingga empat jam untuk diselesaikan kerana peralatan mekanikal tersebut berat.
"Rakan sekerja banyak membantu dalam aspek ini," tambahnya, menjelaskan pengetahuannya lebih kepada pembaikan enjin kereta import, terutamanya Volkswagen dan BMW.
pic-3
Sementara itu, pemilik MTH Autohaus & Accessories Mohamad Zaini Ashari, 53, berkata sikap serta disiplin gadis berkenaan menjadi faktor dia diserapkan sebagai pekerja tetap di syarikatnya.
“Dari awal April hingga Oktober lalu, Khai menjalani latihan industi di bengkel kami. Sepanjang latihan itu saya perhatikan dia bukan sahaja bersungguh-sungguh malah akan kerap bertanya kepada mekanik lain jika berlaku masalah pada kenderaan yang dibaiki.
“Itu yang saya fikir ada istimewanya Khai ini. Mungkin juga dengan cara ini saya boleh tawarkan pengalaman kerjaya kepada Khai dan pada masa yang sama boleh digunakan untuk dirinya melonjak lebih jauh selepas ini,” katanya.
Mohd Zaini berkata pandangan negatif terhadap kaum Hawa yang mencari rezeki dalam bidang ini juga tidak sewajarnya timbul kerana jantina bukan faktor penghalang bagi seseorang menceburi kerjaya yang diminati.
“Paling penting minat, rajin dan mahu belajar sesuatu yang baharu. Ciri-ciri ini perlu ada dan menentukan kejayaan seseorang itu,” katanya.
-- BERNAMA