DUNIA

Malaysia Galas Peranan Penting ASEAN Melalui Penglibatan Strategik

13/01/2025 02:50 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Malaysia memulakan tahun 2025 dengan langkah diplomasi antarabangsa yang kukuh, mempamerkan peranan pentingnya sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Minggu lalu merupakan tempoh yang sangat produktif dan penuh bermakna bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain menguruskan agenda nasional, Anwar menerima kunjungan berturut-turut pemimpin dari Singapura, Indonesia dan Jepun.

Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, kedua-dua pemimpin membincangkan kepentingan bersama, memperkukuh kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dan mengesahkan komitmen mereka untuk menangani isu dua hala utama.

Satu pencapaian penting dalam pertemuan itu ialah pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang disifatkan sebagai inisiatif transformasi yang membuka era baharu kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Pada Khamis, Anwar menyambut kedatangan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang tiba di Kuala Lumpur pada pagi itu. Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan tertutup semasa majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi.

Walaupun lawatan kerja Prabowo singkat, keakraban antara mereka terserlah.

Anwar kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau dan Prabowo mengadakan perbincangan dari hati ke hati mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama. Indonesia juga menyatakan komitmen untuk membantu dan bekerjasama dengan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.

Wong dan Prabowo pada asalnya dijadualkan melawat Malaysia bulan lepas, namun rancangan mereka ditangguhkan akibat keadaan tidak dijangka.

Bagaimanapun, lawatan mereka minggu lepas berlangsung pada masa yang sesuai.

Malaysia, Singapura dan Indonesia adalah tiga daripada lima negara pengasas ASEAN yang ditubuhkan pada 1967. Dua lagi ialah Filipina dan Thailand. Hari ini, keahlian ASEAN telah berkembang kepada 10 negara.

Satu lagi peristiwa penting ialah lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba ke Malaysia, yang merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober 2024.

Menariknya, Malaysia dipilih sebagai destinasi untuk lawatan dua hala ke luar negara pertamanya, mencerminkan pengiktirafan Jepun terhadap kepentingan strategik Malaysia.

Pertemuan peringkat tinggi ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan setiap negara berkenaan, tetapi juga menekankan sokongan padu terhadap keupayaan Malaysia untuk membentuk kerjasama serantau sebagai Pengerusi ASEAN.

Penganalisis hubungan antarabangsa Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar sedang menunjukkan kesediaan Malaysia untuk memanfaatkan kemahiran diplomatik dan kepimpinannya bagi membimbing kumpulan serantau dalam menangani cabaran serantau dan global yang semakin kompleks.

“Hubungan peribadi dan kerja Anwar yang kukuh dengan pemimpin asing juga menjadi kelebihan utama dalam meningkatkan pengaruh diplomatik Malaysia di pentas global.

“Malaysia, sejak awal lagi telah menetapkan agenda jelas untuk pengerusi ASEAN. Antaranya ialah mengenai isu-isu mendesak yang dihadapi rantau ini, termasuk meningkatkan perdagangan dalam ASEAN, merangsang pertumbuhan ekonomi, memelihara keamanan dan keselamatan serantau, serta menangani krisis yang berterusan di Myanmar.

“Walaupun cabaran ini kompleks, Perdana Menteri Anwar telah menunjukkan keazaman untuk menanganinya secara menyeluruh,” kata Azizuddin yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hujung minggu ini, Pemukiman Menteri Luar ASEAN akan diadakan di pulau peranginan Langkawi, secara rasmi menandakan permulaan siri mesyuarat ASEAN di bawah pengerusi Malaysia.

Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara sepanjang tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy