AM

Banjir: Orang Ramai Diingat Berwaspada, Patuhi Arahan Pihak Berkuasa- Ahmad Zahid

13/01/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Orang ramai, terutamanya penduduk yang berada di kawasan terjejas banjir diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam situasi banjir yang sedang dialami, keselamatan diri dan keluarga perlu sentiasa diutamakan.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata negara ketika ini berdepan ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan berterusan akibat luruan monsun pada 15 hingga 18 Jan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

"Bagi maklumat cuaca, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia  (MetMalaysia). Juga maklumat di portalbencana.nadma.gov.my," katanya.

Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid turut berkongsi situasi terkini banjir di Johor yang semakin membimbangkan dengan seramai 3,289 mangsa dari 933 keluarga telah dipindahkan ke 35 pusat pemindahan sementara (PPS).

"Situasi ini bukan sahaja melibatkan negeri Johor tetapi juga beberapa negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Perak dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy