GAYA HIDUP

Bas Lama Jadi Kafe Di Boss Bus Camp

13/01/2025 03:19 PM

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 13 Jan (Bernama) -- Lima buah bas yang tidak lagi digunakan diubah suai menjadi ruang menjamu selera yang unik dan selesa.

Dilengkapi pendingin hawa, bahagian di dalam bas tidak banyak diubah dengan tempat duduk dan kerusi pemandunya masih dikekalkan, sementara  di luar pula ada “pondok menunggu bas” yang juga dijadikan ruang makan.

Bagi menjadikan pengalaman makan di Boss Bus Camp ini lebih menarik, pelanggan yang melangkah keluar selepas menjamu selera akan diberikan sekeping tiket bas lama sebagai cenderamata kenangan.

pic-2

Kedai makan unik itu yang terletak di Jalan C.M Yusuff, Taman Chateau di sini, diusahakan oleh Mohd Ikram Mohadom, 35,  bagi "menyimpan” kenangan ayah dan ibunya semasa era bas henti-henti, suatu ketika dahulu.

 “Idea menggunakan bas-bas lama ini sebagai tempat menjamu selera juga diinspirasikan daripada kafe dalam bas yang pernah saya lihat di Klebang, Melaka sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Selain itu katanya, usaha tersebut juga bagi memanfaatkan tanah seluas hampir 0.4 hektar yang sebelum ini terbiar.

pic-3

“Saya beli bas-bas lama ini daripada beberapa buah syarikat. Kenderaan ini, kalau tidak digunakan semula untuk tujuan lain, akan dilupuskan begitu sahaja,” katanya. 

Mula beroperasi pada Oktober tahun lepas, premis itu menawarkan pengalaman makan sambil bersantai untuk semua peringkat usia, tanpa mengira kaum.

“Waktu operasi ialah dari 5 petang hingga 12 tengah malam, setiap Rabu hingga Ahad. Kami sediakan medan kereta yang luas serta permainan go-kart untuk pengunjung yang mahukan aktiviti lasak,” katanya.

pic-4

Ditanya tentang menu, Mohd Ikram berkata mereka menyediakan hidangan barat serta masakan berasaskan makanan laut. 

“Makanan laut di sini dibekalkan oleh nelayan dari sekitar Lumut. Malah, kita menggunakan ayam organik sebagai ayam goreng dan saiz hidangan juga besar,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy