AM

Banjir: Jumlah Mangsa Di Johor Berkurang, Di Sarawak Meningkat

13/01/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor berkurang kepada 3,118 orang petang ini berbanding 3,776 orang pagi tadi manakala di Sarawak meningkat kepada 40 orang. 

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua 3,118 mangsa banjir melibatkan 892 keluarga itu ditempatkan di 35 PPS di empat daerah yang terjejas iaitu Kota Tinggi 1,251 orang, Johor Bahru (708), Pontian (625) dan Kluang (534).

Azmi dalam kenyataan hari ini berkata situasi banjir di Kulai dilaporkan telah pulih dan semua mangsa di daerah itu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. 

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan PPS di negeri itu meningkat kepada 40 orang petang ini berbanding 18 orang pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan PPS di Dewan Kompleks Sukan Kanowit menempatkan 20 mangsa banjir dari Rumah Leo dan Rumah Alice Jimmy manakala 20 mangsa lagi ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Nanga Ngungun di daerah sama.

“Arahan pembukaan PPS kedua (Dewan Kompleks Sukan Kanowit) telah dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Kanowit Jackline August pada 11.30 pagi,” menurut kenyataan itu.

Di PERAK, Sekretariat JPBN Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar di daerah Manjung setakat 4 petang ini dan mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.

Di PAHANG, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Jawa di Rompin dibuka bagi menempatkan 152 mangsa daripada 36 keluarga selepas kediaman mereka terjejas banjir akibat air pasang dan angin kencang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin kawasan yang terjejas di daerah itu ialah Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy