AM

Tujuh Hospital Dikenal Pasti Bagi Penambahbaikan Liputan Internet - Teo 

13/01/2025 07:37 PM

BERA, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak tujuh hospital telah dikenal pasti bagi penambahbaikan liputan dan kualiti Internet setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata hospital itu ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Cyberjaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Alor Gajah (Melaka), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rembau (Negeri Sembilan) dan Hospital Tanah Merah (Kelantan). 

Teo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengenal pasti punca masalah capaian Internet di hospital terbabit.

"Setelah sesi libat urus dengan KKM, kami telah menyenarai pendek tujuh hospital yang akan dilakukan penambahbaikan, namun tidak had kepada tujuh hospital berkenaan dan akan melibatkan hospital lain nanti. 

"MCMC telah cari penyelesaian sama ada liputan memang kurang memuaskan atau kawasan dalam bangunan yang ada masalah dan mereka akan selesaikan masalah berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat Kesihatan Bera selepas melakukan lawatan kerja di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata hospital akan menjadi satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh MCMC dalam usaha menyelesaikan masalah kesalinghubungan.

Fahmi dilaporkan berkata hal ini disebabkan masih terdapat hospital kerajaan yang berdepan dengan masalah liputan dalam bangunan untuk kegunaan telefon bimbit serta ketiadaan penyediaan prasana teknologi 5G yang sesuai dengan penggunaan aplikasi perubatan.

Sementara itu, Teo berkata 17 fasiliti kesihatan di Bera yang mempunyai masalah rangkaian telefon telah diselesaikan dengan perkhidmatan Voice over Fiber (VoF) disediakan. 

Mengulas mengenai 8,756 kandungan berkaitan dengan buli siber diturunkan MCMC pada 2024 berbanding 1,763 kandungan tahun sebelumnya, beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan pertambahan aduan dibuat oleh masyarakat yang mempunyai kesedaran dan melaporkannya kepada MCMC. 

Beliau turut memaklumkan sebuah menara komunikasi yang dibangunkan menerusi projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Bukit Rok di sini mampu memanfaatkan 700 penduduk setempat. 

Menerusi lawatan kerja sehari di daerah ini, Teo berkesempatan meluangkan masa beramah mesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini selain melakukan ujian kualiti perkhidmatan 4G dari menara JENDELA.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy